JSPT Kontinjen Johor akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan dan bersasar.

JOHOR BAHRU – Sebanyak 139,696 saman dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan lalu lintas dalam Op Penguatkuasaan Trafik, ‘Hargai Nyawa, Jangan Jadikan Jalan Raya Medan Bahaya’ bermula 1 Januari hingga semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad memberitahu, operasi penguatkuasaan itu dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Johor dan sepanjang tempoh tersebut 2,527 operasi sudah dijalankan di seluruh negeri.

“Bagi tempoh sama, sebanyak 981 tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan lalu lintas dan jenayah juga dibuat selain 4,197 kenderaan disita mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Antara kesalahan yang diberi tumpuan termasuk melanggar lampu isyarat merah, memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan memotong di garisan berkembar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujian mengesan alkohol dilakukan dalam operasi tersebut bagi memastikan pemandu bebas daripada bahan terlarang ketika memandu

Beliau berkata, kesalahan lain melibatkan menggunakan lorong kecemasan, memotong barisan, kesalahan membabitkan penunggang motosikal, aktiviti samseng jalanan serta memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan.

Jelasnya, operasi dibuat secara berterusan dari awal tahun bagi memberi tumpuan kepada kesalahan lalu lintas yang dikenal pasti berisiko tinggi menyumbang kepada berlakunya kemalangan, khususnya kemalangan maut.

JSPT katanya, terus komited dalam memperkasakan penguatkuasaan undang-undang jalan raya serta meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya di seluruh negeri.

“JSPT Kontinjen Johor akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan dan bersasar berdasarkan analisis data kemalangan, lokasi kawasan panas (hotspot), waktu berisiko serta kategori pengguna jalan raya yang dikenal pasti mempunyai risiko tinggi terbabit dalam kemalangan.

antara kesalahan dalam opersi itu termasuk melanggar lampu isyarat merah, memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan memotong di garisan berkembar

“Matlamat utama penguatkuasaan bukan semata-mata bertujuan mengeluarkan saman, membuat tangkapan atau menyita kenderaan, sebaliknya merupakan langkah pencegahan dan penguatkuasaan bagi meningkatkan tahap pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan lalu lintas, di samping mengurangkan risiko kemalangan serta menyelamatkan nyawa pengguna jalan raya,” ujarnya.

Pada masa sama, Ab Rahaman menyeru seluruh masyarakat dan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas, serta mengamalkan sikap berhemah, bertanggungjawab dan mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya.

“Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama. Setiap pengguna jalan raya mempunyai peranan penting dalam memastikan keselamatan diri sendiri, penumpang serta pengguna jalan raya yang lain.

“JSPT Kontinjen Johor akan terus memperhebatkan usaha penguatkuasaan dan pencegahan secara tegas, berterusan dan bersasar bagi memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi, sekali gus mewujudkan persekitaran jalan raya di negeri Johor yang lebih selamat untuk semua,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here