PEKAN – Seorang peniaga tergamam ketika menyaksikan rumah pusaka yang didiami sejak kecil di Kampung Pahang Tua, di sini dijilat api yang marak di hadapan mata.
Nor Haida Kadir, 48, berkata, ketika menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira pukul 6.30 petang semalam, dia dalam perjalanan pulang ke rumah ibunya di Kampung Perlak, di sini untuk berbuka puasa.
Sejurus mengetahui rumah mereka terbakar, dia dan suami bersama dua anak dan dua cucu mereka terus berpatah balik, namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana api sudah terlalu marak.
“Hari pertama kononnya nak berbuka puasa di luar, hasrat nak berbuka puasa di rumah mak, tapi tak sempat pun.
“Masa sampai semula di rumah tu, tengok api tengah besar. Akk dah tak terkata, reda je lah. Cuma fikir kesiannya anak cucu tiada tempat tinggal,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Lebih menyedihkan, Haida berkata, wang tunai sebanyak RM6,000 selain tiga bentuk cincin yang disimpan di dalam rumah itu turut hangus dan tidak dapat ditemukan.
Dalam kebakaran itu juga, katanya lima buah motosikal dan sebuah kereta milik mereka hangus dijilat api selain peralatan elektrik termasuk empat buah peti ais dan tiga buah mesin basuh.
Meskipun bersyukur tiada kemalangan jiwa membabitkan mereka enam sekeluarga, namun Haida mengakui buntu memikirkan mereka kini tinggal sehelai sepinggang.
Justeru, dia amat menghargai sebarang jenis bantuan dan sokongan yang diberikan jiran-jiran, wakil rakyat dan orang ramai.
“Sebab saya pun tak berniaga masa bulan puasa ni, jadi kami tiada pendapatan. Suami pun baru dapat kerja sambilan. Anak saya membantu saya di kedai sahaja, dengan cucu kecil lagi.
“Cuma minta tempat berteduh yang segera la. Sebab mengenangkan cucu dua orang tu. Memang memerlukan bantuan kerana pendapatan hanya bergantung kepada berniaga kedai ni,” luahnya.
Dia mengakui belum membuat sebarang persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dan mungkin akan pulang ke rumah ibunya untuk berhari raya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin memaklumkan mengenai kebakaran membabitkan rumah jenis kayu dan batu berkeluasan 30×45 kaki persegi itu.
Beliau juga memaklumkan siasatan lanjut mengenai punca kebakaran dan jumlah sebenar kerugian sedang dijalankan oleh pihak forensik bomba.
Sementara itu, jiran mereka bernama Mohamad Tamizi Taib, 54 ketika ditemui berkata, dia tidak dapat melupakan pengalaman terdengar bunyi letupan seperti mercun yang kuat datang dari rumah Haida ketika dia sedang memasak di rumahnya.

“Dengar meletup-letup tu, saya suruh anak saya keluar tengok ada apa berlaku. Katanya rumah terbakar. Ketika tu, tak sempat capai apa-apa, saya terus berlari keluar.
“Saya risau sebab kebiasaannya dia (Haida) dan seorang cucu tu tak keluar ke mana-mana. Saya panggil-panggil nama, tapi tiada jawapan. Mujurlah semua tiada di rumah,” katanya. – MalaysiaGazette
















