KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) meluluskan pembaharuan Lesen di bawah Akta Tenaga Atom 1984 (Akta 304) kepada Lynas Malaysia Sdn. Bhd. bermula 3 Mac 2026 hingga 2 Mac 2036, tertakluk kepada syarat-syarat yang lebih ketat serta semakan menyeluruh selepas lima tahun.
Menurutnya, kelulusan ini dibuat dengan pendirian yang jelas bahaw tiada lagi pembinaan kemudahan pelupusan kekal (PDF) baharu pada masa hadapan bagi residu Water Leach Purification (WLP) yang melebihi had kawalan di bawah Akta 304.
Selepas tempoh lima tahun pertama, pengeluaran residu radioaktif hendaklah dihentikan sepenuhnya, dan residu radioaktif yang dihasilkan dalam tempoh tersebut hendaklah dineutralkan melalui pengekstrakan thorium atau kaedah rawatan yang diluluskan ke tahap kurang daripada 1Bq/g.
“Ini bermakna tiada lagi pengumpulan residu radioaktif secara berterusan selepas tempoh lima tahun berkenaan. Ia selaras dengan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada lagi pertambahan residu radioaktif secara berterusan di dalam negara kital,” kata MOSTI dalam kenyataan hari ini.
Selain aspek kawal selia dan penguatkuasaan, lesen ini turut menetapkan komitmen yang lebih kukuh dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), katanya.
Lynas hendaklah melaksanakan hasil R&D yang telah berjaya di peringkat makmal kepada peringkat komersial dan kegunaan industri.
Syarikat itu juga, katanya, perlu memperkukuh kerjasama dengan institusi penyelidikan tempatan dan pihak industri.
Di samping itu, syarat 1% jualan kasar tahunan Lynas untuk digunakan sebagai dana R&D dikekalkan dalam pembaharuan
lesen kali ini.
Jelasnya, MOSTI melalui Jabatan Tenaga Atom akan melaksanakan pemantauan rapi dan penguatkuasaan berterusan bagi memastikan semua syarat lesen dipatuhi sepenuhnya, termasuk dalam aspek keselamatan sinaran, perlindungan alam sekitar dan pengurusan residu.
Kerajaan mengambil kira kepentingan strategik industri nadir bumi (REE) terhadap ekonomi negara, namun keselamatan rakyat dan kelestarian alam sekitar kekal sebagai keutamaan. Industri REE di Malaysia mesti beroperasi secara terkawal, selamat dan bertanggungjawab.
Sebagai langkah memperkukuh ketelusan dan keyakinan awam, MOSTI dan Jabatan Tenaga Atom turut menyediakan akses terbuka kepada data tahap sinaran persekitaran di seluruh negara menerusi sistem Environmental Radiation Monitoring System (ERMS).
Data ini boleh diakses oleh orang ramai secara masa nyata (real-time) melalui pautan https://www.mosti.gov.my dan https://erms.atom.gov.my/. Pendekatan ini memastikan sebarang pandangan, perbincangan dan keputusan berkaitan keselamatan sinaran dibuat berasaskan data saintifik yang telus dan boleh disemak, bukan persepsi atau spekulasi. – MalaysiaGazette
















