HONG KONG – Harga minyak dan gas melonjak manakala pasaran saham merosot di Asia pada Isnin selepas serangan Amerika Syarikat–Israel ke atas Iran mencetuskan kebimbangan pelabur terhadap kemungkinan konflik berpanjangan di Timur Tengah yang kaya dengan sumber minyak mentah.
Minyak West Texas Intermediate naik 9.0 peratus kepada AS$73.04 setong pada (0815GMT) manakala Brent naik 9.7 peratus kepada AS$79.95 setong.
Minyak Brent sudah melonjak hampir 14 peratus, manakala West Texas Intermediate hampir 12 peratus pada awal dagangan susulan serangan ke atas Tehran, yang mengorbankan pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei serta beberapa pegawai kanan lain.
Serangan pengeboman itu turut menyebabkan Selat Hormuz laluan penting yang mengendalikan sekitar 20 peratus penghantaran minyak global melalui laut hampir lumpuh, selain beberapa kapal diserang, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap bekalan.
Pasaran ekuiti di seluruh Asia jatuh, dengan Tokyo, Hong Kong, Singapura, Mumbai, Bangkok, Wellington dan Taipei mencatatkan kejatuhan ketara. Niaga hadapan AS susut lebih satu peratus. Namun, Shanghai meningkat sedikit manakala Sydney mendatar.
Di Eropah, London susut satu peratus pada pembukaan, manakala Frankfurt dan Paris masing-masing jatuh lebih dua peratus.
Saham syarikat penerbangan menerima tekanan hebat apabila banyak penerbangan ke rantau itu dibatalkan. Cathay Pacific jatuh empat peratus di Hong Kong, Qantas yang tersenarai di Sydney merudum 5.4 peratus, manakala Singapore Airlines susut 4.8 peratus. ANA dan JAL dari Jepun pula jatuh lebih lima peratus.
Sebaliknya, saham syarikat tenaga melonjak, dengan Woodside Energy dan Santos dari Australia masing-masing naik lebih enam peratus, sementara PetroChina meningkat hampir empat peratus di Hong Kong. Inpex di Jepun turut naik lebih enam peratus.
Emas aset perlindungan utama ketika ketidaktentuan meningkat dua peratus, manakala dolar AS turut mengukuh susulan aliran pelaburan ke aset selamat.
Harga minyak mentah mengurangkan sedikit kenaikan kepada lebih sembilan peratus, manakala harga gas Eropah melonjak lebih 20 peratus.
Harga Brent sebelum ini telah meningkat minggu lalu berikutan kebimbangan Presiden AS Donald Trump akan mengarahkan serangan ketika rundingan bagi mengekang program nuklear Iran menemui jalan buntu.
“Jika harga minyak tinggi berterusan, ia meningkatkan risiko inflasi keseluruhan yang lebih melekat dan boleh memperlahankan kadar penurunan inflasi.
“Ini tidak semestinya membawa kepada pengetatan dasar secara automatik, tetapi ia boleh menjadikan Rizab Persekutuan lebih berhati-hati untuk menurunkan kadar faedah dengan cepat, kerana inflasi dipacu tenaga boleh mempengaruhi jangkaan dan tingkah laku harga secara lebih meluas dari semasa ke semasa,” tulis Charu Chanana dari Saxo Markets.
Televisyen negara Iran melaporkan sebuah kapal tangki minyak terkena serangan dan sedang tenggelam selepas cuba melalui selat itu secara “haram”.
Dalam keadaan sedemikian, kos insurans menjadi terlalu tinggi, kata Amena Bakr, ketua penyelidikan Timur Tengah dan OPEC+ di firma analisis Kpler, sambil meramalkan harga minyak boleh mencecah AS$90 setong.
Syarikat perkapalan utama juga telah mengesahkan mereka menggantung laluan armada melalui selat itu.
Secara teori, negara pengimport minyak mempunyai rizab, dengan ahli OECD diwajibkan menyimpan bekalan untuk 90 hari, namun harga melebihi AS$100 tidak boleh diketepikan.
Jika sekatan Selat Hormuz berterusan, “tidak kira berapa banyak kapasiti lebihan dalam rizab strategik, ia tidak akan mampu menampung jurang tersebut. Jurang itu terlalu besar,” kata Bakr.
Penganalisis Kpler lain, Michelle Brouhard, menyifatkan harga minyak tinggi sebagai “the Achilles heel of Trump” (titik paling rapuh Donald Trump.
Menurutnya, Iran berkemungkinan mengekalkan harga minyak tinggi untuk memaksa Trump berundur, memandangkan beliau berjanji kepada pengundi harga rendah, ketika Amerika Syarikat menghampiri pilihan raya pertengahan penggal pada November.
Harga gas turut melonjak pada Isnin juga memberi tamparan tambahan kepada ekonomi global kerana Qatar merupakan pengeksport utama gas asli cecair, sekali gus meningkatkan risiko inflasi.
Kenaikan harga tenaga, kos perkapalan yang meningkat dan kehilangan hasil sektor penerbangan boleh memberi “kesan buruk terhadap pertumbuhan ekonomi”, kata ahli ekonomi Eric Dor dari IESEG School of Management di Paris.
“Jika hanya tiga hari, ia tidak serius. Tetapi jika berlarutan lebih lama, ia akan memberi kesan kemelesetan tambahan,” katanya kepada AFP. – Agensi
















