SEBUAH gudang barang perabot di Pasir Gudang Industrial Estate, Pasir Gudang terbakar hari ini.

PASIR GUDANG – Sebuah gudang penyimpanan barang perabot milik Creative Brass Sdn Bhd di Pasir Gudang Industrial Estate di sini terbakar hari ini.

Bagaimanapun kejadian tersebut tidak melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Timbalan Penguasa Bomba II Firdaus Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 9.01 pagi.

Susulan itu katanya, seramai 28 anggota dari BBP Pasir Gudang, BBP Tebrau dan BBP Johor Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian dibantu masing-masing dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Light Fire Rescue Tender (CFRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Pihak bomba tiba lima minit kemudian dengan jarak balai ke lokasi kejadian kira-kira dua kilometer. Kebakaran melibatkan gudang penyimpanan barang perabot berkeluasan 200 kaki panjang x 300 kaki lebar x 15 kaki tinggi.

“Anggaran kemusnahan adalah sekitar 80 peratus. Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada pukul 10.07 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketika ini kerja-kerja overhaul dan pemeriksaan keselamatan masih dilakukan di tempat kejadian.

Tambahnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast