Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

CYBERJAYA – Tiada jaminan pemulangan dana 100 peratus kepada mangsa penipuan dalam talian sekiranya insiden itu lambat dilaporkan kepada pihak berkuasa khususnya Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sindiket penipuan hanya memerlukan tiga hingga 10 minit untuk melesapkan sehingga 90 peratus wang mangsa.

“Mangsa hanya sedar telah berkongsi akaun sekitar jam 2 petang dan melaporkan kepada pusat ini sekitar jam 10 ke 12 malam.

“Tempoh 10 jam itu cukup untuk melesapkan duit di dalam akaun sehingga 80 peratus.

“Dalam proses siasatan, kita mengesan hanya dalam tempoh 3 hingga 10 minit sahaja, 80 ke 90 peratus jumlah wang dalam akaun itu lesap melalui penggunaan akaun,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diringi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negare, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menurunkan tandatangan ke atas plak perasmian pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Menara 2 MC MC, Cyberjaya. Foto SADIQ SANI, 03 MAC 2026

Terdahulu, beliau mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan NSRC di Menara 2, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Saifuddin juga menasihatkan orang ramai untuk melaporkan penipuan itu selewat-lewatnya dalam tempoh satu jam daripada insiden tersebut berlaku.

“Lagi cepat mangsa melaporkan adalah lebih baik. Satu atau dua jam pertama itu paling penting sebab Aduan NSRC di talian 997 membolehkan kita segera melakukan earmark,” katanya.

Jelasnya, pemulangan dana yang ditipu sindiket itu lazimnya hanya berjaya diselamatkan sekitar 20 peratus.

“Jadi tak akan berlaku dalam kes itu pengulangan 100 peratus. Sebab pada masa ini, dia mengadu itu, sudah pun hilang.

“Jadi kita dapat selamatkan 20 peratus dalam kes ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast