Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan ADUN Rawang, Chua Wei Kiat didkawa menceroboh Tanah Yayasan Kubra di Mukim Rawang, daerah Gombak.

KUALA LUMPUR – Yayasan Kubra bertindak mengemukakan notis tuntutan terhadap dua  Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat berhubung dakwaan pencerobohan tanah milik yayasan itu di Mukim Rawang, daerah Gombak.

Menerusi notis bertarikh 4 Mac 2026 yang dikeluarkan Tetuan Hariz Syakinah & Co., pihak guaman memaklumkan  Yayasan Kubra merupakan pemilik berdaftar bagi tanah Lot PT 19501, PT 19502 dan PT 19503, Mukim Rawang.

Peguam Yayasan Kubra, Muhammad Hariz Md Yusoff berkata, dua wakil rakyat terbabit didakwa telah masuk ke tanah berkenaan masing-masing pada 12 dan 13 Februari lalu tanpa kebenaran mana-mana pemegang amanah yayasan.

“Dakwaan itu merujuk kepada hantaran video di Facebook milik kedua-dua individu terbabit yang memaparkan tindakan mereka menceroboh masuk ke tanah berkenaan tanpa kebenara yayasan selaku pemilik sah dan berdaftar tanah tersebut

“Kami turut diarahkan anak guam untuk menegaskan bahawa memasuki tanah milik persendirian tanpa keizinan sah pemilik berdaftar, adalah suatu kesalahan di sisi undang-undang.

“Kapasiti sebagai ADUN tidak sekali-kali memberi hak mahupun kuasa untuk masuk menceroboh ke tanah milik persendirian,” katanya pada MalaysiaGazette hari ini.

Peguam kepada Yayasan Kubra, Muhammad Hariz Md Yusoff

Susulan itu, katanya, Yayasan Kubra menuntut William Leong dan Wei Kiat untuk membayar ganti rugi sebanyak RM35,000 dalam tempoh 14 hari dan jika gagal tindakan undang-undang akan dikenakan.

Selain itu, mereka perlu membuat permohonan maaf secara kekal di media sosialnya selain menyatakan akujanji tidak mengulangi perbuatan sama tanpa keizinan yayasan.

Terdahulu, menerusi hantaran di Facebook William Leong dan Wei Kiat berkongsi gambar pertemuannya bersama wakil kuil itu yang berada di dalam kawasan Tanah Yayasan Kubra pada 12 dan 13 Februari lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.