KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menahan seorang lelaki warga asing yang disyaki cuba mencuri kabel berhampiran landasan kereta api di KM 37.478, sektor Telok Gadong – Teluk Pulai, Klang kira-kira jam 6.45 petang semalam.
Dalam kejadian itu, dua anggota polis bantuan KTMB yang sedang menjalankan rondaan serta pemantauan di kawasan hotspot kecurian kabel terserempak dengan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan berhampiran landasan.
Menurut KTMB, apabila didekati, suspek bertindak melarikan diri namun berjaya ditahan oleh anggota bertugas selepas tindakan pantas dilakukan.
Pemeriksaan lanjut mendapati suspek membawa sebuah beg kecil yang mengandungi sebilah pisau dan gunting yang dipercayai digunakan bagi tujuan melakukan aktiviti jenayah tersebut.
“Susulan tangkapan itu, suspek bersama barang bukti kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada jam 7.20 malam untuk siasatan lanjut.
“Difahamkan lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan dipercayai merupakan warga asing,” katanya dalam kenyataan.
KTMB menegaskan, perbuatan menceroboh serta merosakkan harta benda kereta api merupakan satu kesalahan serius di bawah Akta Keretapi 1991 (Akta 463) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), yang memperuntukkan tindakan tegas termasuk denda, penjara atau kedua-duanya sekali.
Menurut kenyataan itu lagi, KTMB memandang serius sebarang bentuk pencerobohan atau cubaan mencuri kemudahan infrastruktur rel kerana ia boleh menjejaskan keselamatan operasi tren serta kelancaran perkhidmatan kepada penumpang.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan landasan diminta segera menyalurkan maklumat kepada Pusat Pengumpulan dan Penyaluran Maklumat Polis Bantuan KTMB di talian +603-2263 1194 yang beroperasi 24 jam atau memaklumkan kepada pihak polis berhampiran. – MalaysiaGazette
















