Seorang wanita dikenali sebagai Siti, mendakwa telah menyerahkan RM234,000 kepada sebuah NGO yang bertindak sebagai orang tengah untuk berunding dengan pemberi pinjaman tanpa lesen.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan penyelewengan wang berjumlah RM234,000 yang dikatakan dibayar kepada pihak ketiga bagi menyelesaikan hutang ahlong.

Setiausaha Agung MHO, Hishamuddin Hashim mendedahkan, pihaknya menerima aduan daripada seorang wanita dikenali sebagai Siti yang telah menyerahkan wang kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertindak sebagai orang tengah untuk berunding dengan pemberi pinjaman tanpa lesen.

Menurut beliau, wanita berusia 49 tahun itu pada awalnya hanya membuat pinjaman kecil sekitar RM25,000 sebagai modal pusingan.

Namun tekanan hutang berlarutan menyebabkan beliau akhirnya terpaksa menjual satu-satunya perniagaan milik keluarga bagi melunaskan bayaran kepada pihak yang menawarkan bantuan tersebut.

“Hasil semakan awal menunjukkan bayaran sebanyak RM234,000 telah dibuat kepada pihak yang mendakwa mampu menyelesaikan hutang along dalam tempoh singkat.

“Bagaimanapun selepas lebih setahun membayar lebih 200 ribu ringgit, gangguan daripada pemberi pinjaman masih berterusan yang menimbulkan persoalan sama ada wang itu benar-benar disalurkan kepada pemiutang,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Jelasnya, keadaan itu menimbulkan syak bahawa hanya sebahagian wang mungkin diserahkan kepada pemberi pinjaman, manakala baki jumlah besar berkemungkinan tidak disalurkan seperti dijanjikan.

“Jika benar sebahagian wang tidak disalurkan kepada pemiutang seperti didakwa, perkara ini boleh menjurus kepada kesalahan pecah amanah atau penyelewengan dana,” tegasnya.

Beliau berkata, mangsa turut mendakwa gangguan masih berlaku termasuk mesej ugutan terhadap ahli keluarga serta kejadian rumah disimbah cat, walaupun bayaran besar telah dibuat kepada pihak yang menawarkan khidmat rundingan tersebut.

Sehubungan itu, MHO menggesa polis menjalankan siasatan terperinci bagi mengesahkan aliran wang berkenaan serta mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

“Kita minta polis menjalankan siasatan menyeluruh termasuk mengesahkan ke mana wang RM234,000 itu disalurkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai mana-mana pihak yang menawarkan khidmat rundingan bagi menyelesaikan hutang along.

Menurutnya, pembayaran kepada pemberi pinjaman tanpa lesen bukanlah jalan penyelesaian dan hanya akan menggalakkan kegiatan pinjaman haram terus berleluasa.

“Orang ramai sepatutnya mendapatkan bantuan melalui saluran undang-undang yang sah, bukan menyerahkan wang kepada pihak yang mendakwa boleh menjadi orang tengah,” katanya.

Tegasnya, kebanyakan mangsa pinjaman along sebenarnya terperangkap akibat taktik licik sindiket, justeru sokongan keluarga amat penting bagi membantu mereka keluar daripada tekanan yang dihadapi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast