KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan menetapkan Selasa ini bagi mendengar permohonan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tiga pihak untuk kebenaran merayu tindakan kerajaan memberhentikan peruntukan dana RM730,300 bagi tujuan perbelanjaan kebajikan rakyat Parlimen Muar.
Ahli Parlimen kawasan itu bersama-sama tiga pengundi, Najib Abu Nawar, Mohd Bakirudin Abdullah dan Muhamad Fadzly Bisri memohon kebenaran untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuannya.
Pada 27 Oktober tahun lalu, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Hashim Hamzah bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa semakan kehakiman yang difailkan perayu pada 23 April 2024 adalah jelas di luar tempoh masa yang ditetapkan.
Perayu-perayu menyatakan, permohonan kepada kerajaan telah dibuat dalam tempoh masa dengan mengambil kira surat bertarikh 29 Mac 2024 yang kandungannya memaklumkan jika surat tersebut tidak dibalas dalam tempoh tujuh hari, perayu menganggap tuntutan untuk mendapatkan peruntukan khas itu ditolak. Tempoh tujuh hari itu tamat pada 5 April 2024.
Dalam permohonan semakan kehakiman difailkan pada 23 April 2024, Syed Saddiq dan tiga pengundi kawasan itu memohon perintah bagi membatalkan keputusan kerajaan memberhentikan atau membatalkan baki RM500,000 daripada jumlah RM1.7 juta.
Peruntukan itu sepatutnya disalurkan secara terus kepada akaun bank Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar bagi tujuan perbelanjaan program kebajikan, kesejahteraan rakyat dan bantuan bencana di kawasan Parlimen Muar.
Mereka turut menuntut supaya akses Syed Saddiq kepada sistem myKHAS yang menguruskan dana pembangunan RM2 juta untuk kawasan Parlimen dan pembatalan beberapa projek yang telah diluluskan bernilai RM230,300, dikembalikan.
Selain itu, mereka mencabar tindakan responden enggan meluluskan sebarang peruntukan kepada Syed Saddiq sebagai Ahli Parlimen Muar, bagi program di bawah inisiatif ‘Projek Mesra Rakyat’ atau program seumpamanya bagi 2024.
Mereka mendakwa tindakan tersebut menafikan hak kesamarataan Syed Saddiq selaku Ahli Parlimen Muar dan tiga pemohon lain sebagai pengundi kawasan Parlimen itu seperti termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan (hak kesamarataan). – MalaysiaGazette
















