BATU PAHAT – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbakar terlibat dalam nahas tiga kenderaan berhampiran sebuah gudang di Jalan Lama Yong Peng-Ayer Hitam dekat sini malam tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP)Yong Peng, Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Rafidi Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 11.38 malam.
Berikutan itu katanya, seramai lima anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian mendapati kemalangan melibatkan kereta jenis Toyota Vios, Perodua Bezza dan Nissan Sentra yang melibatkan lima mangsa semuanya. Akibat kemalangan tersebut Toyota Vios terbakar sebanyak 80 peratus.
“Seorang mangsa, Muhd Nazrin Hamidi, 22, dalam kereta itu dikeluarkan oleh orang awam sebelum kereta tersebut terbakar namun disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu Perodua Bezza iaitu seorang wanita berusia 33 tahun terselamat manalaka pemandu Nissan Sentra iaitu seorang lelaki berusia 65 tahun tersepit dan cedera.
Katanya, warga emas tersebut berjaya dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas manakala dua penumpang lelaki dalam kereta tersebut terselamat.
“Mangsa yang mengalami kecederaan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau memberitahu, operasi menyelamatkan mangsa yang jaraknya 12 kilometer tamat pukul 1.48 pagi tadi.- MalaysiaGazette
















