WASHINGTON – Keputusan untuk menamatkan perang Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran akan dibuat secara bersama dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, kata Presiden Donald Trump.
Dalam wawancara telefon ringkas bersama akhbar The Times of Israel, Trump berkata, kedua-dua pihak sedang berbincang mengenai perkara itu sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Saya fikir ia keputusan bersama… sedikit sebanyak. Kami telah berbincang. Saya akan membuat keputusan pada masa yang sesuai, tetapi semua perkara akan diambil kira,” katanya ketika ditanya sama ada Netanyahu akan mempunyai peranan dalam keputusan tersebut.
Trump bagaimanapun enggan mengulas kemungkinan Israel meneruskan serangan selepas Amerika Syarikat menghentikan operasi ketenteraannya.
“Saya tidak fikir ia akan diperlukan,” katanya.
Sementara itu, White House pada Jumaat lalu memaklumkan pihaknya menjangkakan perang itu berlarutan antara empat hingga enam minggu, namun jangka masa tersebut berubah dengan pantas sejak seminggu lalu, dan Trump beberapa kali enggan menetapkan tempoh khusus bagi konflik berkenaan.
Ketegangan di rantau itu meningkat sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan besar-besaran terhadap Iran pada 28 Februari lalu, yang mengorbankan lebih 1,200 orang termasuk Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, lebih 150 pelajar perempuan serta pegawai kanan tentera.
Iran kemudian melancarkan serangan balas berskala besar yang menyasarkan pangkalan tentera Amerika Syarikat, kemudahan diplomatik dan anggota tentera di seluruh rantau itu, selain beberapa bandar di Israel.
Sekurang-kurangnya enam anggota tentera Amerika dilaporkan terbunuh.
Serangan dron dan peluru berpandu Iran juga dilaporkan terus meningkat, dengan laporan menyatakan Tehran berulang kali melancarkan peluru berpandu yang dilengkapi bom berangkai ke arah Israel.
Terdahulu pada Ahad, Assembly of Experts Iran mengumumkan pelantikan Mojtaba Khamenei sebagai pemimpin tertinggi baharu negara itu bagi menggantikan bapanya, Ali Khamenei.
Dalam wawancara berasingan dengan ABC News, Trump berkata, Mojtaba Khamenei “tidak akan bertahan lama” tanpa kelulusan Amerika Syarikat.
“Dia perlu mendapat kelulusan daripada kami. Jika tidak, dia tidak akan bertahan lama. Kami mahu memastikan perkara ini tidak perlu berulang setiap 10 tahun, terutamanya apabila tiada presiden seperti saya yang sanggup bertindak,” kata Trump. – Agensi
















