PUTRAJAYA – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengaku tidak kisah diperlekeh dan ditertawakan ketika melakukan kerja-kerja sambilan demi mendapatkan dana untuk kebajikan penduduk Parlimen Muar.
Ahli Parlimen itu berkata, usahasama dengan hub fesyen terkemuka, Primavalet (PV) sebagai duta jenama pakaian, berjaya meraih sebanyak RM6 juta untuk disalurkan kepada penduduk kawasan tersebut.
“Kerajaan mana yang mahu beri wang sebanyak itu? Melalui usahasama tersebut, sebanyak 50,000 pasang baju kurung dan telekung serta 10,000 unit bank makanan yang setiap satunya bernilai RM250, berjaya diagihkan.
“Saya diperlekeh, saya tidak kisah pun dan menerimanya dengan niat yang baik asalkan saya boleh terus buat kerja sambilan untuk penduduk kawasan saya.
“Baru minggu lalu, saya turun ke Muar untuk mengagihkan 100 buah iPad berkualiti,” ujarnya kepada wakil media di Istana Kehakiman hari ini.
Syed Saddiq ditanya pendekatan yang diambil selama ini bagi mendapatkan wang untuk Parlimen Muar selepas kerajaan menarik balik peruntukan dana untuk kawasannya.
Beliau hadir ke Mahkamah Persekutuan untuk mengikuti prosiding kebenaran merayu dalam usaha membatalkan keputusan kerajaan yang memberhentikan peruntukan dana RM730,300 bagi tujuan perbelanjaan kebajikan rakyat Parlimen Muar.
Terdahulu, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Nordin Hassan membenarkan permohonan Syed Saddiq dan tiga pengundi kawasan itu untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak memihak kepada mereka.
Di Mahkamah Rayuan, Syed Saddiq bersama-sama Najib Abu Nawar, Mohd Bakirudin Abdullah dan Muhamad Fadzly Bisri gagal mengembalikan semakan kehakiman ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran.
Sementara itu, Syed Saddiq menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan membenarkannya dan tiga pengundi merayu berhubung peruntukan dana, sebagai satu kemenangan bermakna kepada penduduk kawasan itu.
Ujar beliau, ketika bersama-sama kerajaan, setiap Ahli Parlimen diberikan peruntukan RM4 juta namun sebaik sahaja beliau menarik balik sokongannya pada 2023 dan menjadi pembangkang, peruntukan itu ditarik balik.
“Sebagai Ahli Parlimen, duit itu bukan pergi kepada saya, saya mohon sahaja melalui MyKhas. Namun disebabkan saya bukan dalam pihak kerajaan, peruntukan itu ditutup dan ditarik balik.
Sehubungan itu, saya memohon satu dasar digubal agar semua kawasan Parlimen diberikan peruntukan yang adil supaya bantuan kebajikan disalurkan tanpa mengira warna politik.
Ujar beliau, sehingga kini pihaknya telah menjalankan lebih 10 rundingan dengan kerajaan namun akhirnya hanya mendapat peruntukan pejabat dan tidak boleh digunakan secara khusus untuk kebajikan dan pembangunan termasuk sekolah dan klinik.
Sementara itu, peguam Lim Wei Jiet menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan membenarkan Syed Saddiq merayu, sebagai satu petunjuk yang baik.
Ujar beliau, ia menunjukkan badan kehakiman mahu menilai secara lanjut isu penting sama ada keputusan kerajaan menarik balik peruntukan kawasan Parlimen pembangkang, boleh disemak di mahkamah.
“Isu yang dibangkitkan ama ada ia bertentangan dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan iaitu hak untuk semua dilayan sama rata tidak kira mereka dari Parlimen Muar, Bakri atau kawasan lain,” ujarnya – MalaysiaGazette
















