TOKYO – Harga minyak mentah susut selepas Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dilapor mencadangkan pelepasan rizab minyak terbesar yang pernah dilakukan bagi menurunkan harga susulan perang Iran.
Sekitar jam 0040 GMT, minyak mentah Brent turun 0.84 peratus kepada AS$87.06 setong manakala West Texas Intermediate (WTI) merosot 1.02 peratus kepada AS$82.60 setong.
Menurut laporan Wall Street Journal yang memetik pegawai yang tidak dinamakan, negara-negara anggota dijangka membuat keputusan mengenai cadangan pelepasan rizab itu lewat Rabu.
Terdahulu dalam dagangan Asia, harga WTI melonjak lebih 5.0 peratus selepas Presiden Donald Trump meningkatkan ancaman ke atas Selat Hormuz yang secara berkesan telah ditutup oleh Iran.
Sementara itu, pasaran saham Asia meningkat dengan indeks Nikkei di Tokyo naik kira-kira dua peratus manakala Kospi di Korea Selatan bertambah sekitar 2.5 peratus. – Agensi
















