Landasan KLIA 3. Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Landasan 3 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kembali beroperasi sepenuhnya tujuh hari lebih awal daripada jadual asal selepas kerja-kerja penambahbaikan berjaya disiapkan lebih awal daripada perancangan.

Menerusi kenyataan di akaun rasmi X, KLIA memaklumkan landasan berkenaan sebelum ini ditutup sepenuhnya dari 24 hingga 26 Februari bagi membolehkan kerja-kerja naik taraf dilaksanakan.

Menurut kenyataan itu, selepas tempoh penutupan tersebut, landasan berkenaan beroperasi menggunakan konfigurasi landasan pendek sementara baki kerja penyelenggaraan diteruskan.

“Bagaimanapun, memandangkan kerja-kerja tersebut siap lebih awal daripada perancangan, landasan ini kini kembali beroperasi menggunakan kepanjangan penuh,” menurut kenyataan yang dimuat naik melalui akaun KL International Airport (@KLIA_my) di platform X (Twitter).

KLIA memaklumkan kerja-kerja berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak lapangan terbang bagi memastikan standard keselamatan serta kualiti operasi sentiasa berada pada tahap tertinggi.

Sebelum ini, tarikh sebenar yang dijadualkan untuk penyambungan semula operasi penuh landasan tersebut adalah pada 17 Mac. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast