KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen 1 Miri hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan serta denda RM50,000 terhadap seorang pentadbir akaun Facebook kerana memuat naik komen yang bersifat jelik melampau serta menyinggung sensitiviti agama Islam berhubung pemergian mantan Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Tertuduh, John Mule anak Alai, 48, didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] kerana menggunakan perkhidmatan aplikasi secara tidak wajar dengan memuat naik penghantaran komunikasi yang bersifat jelik melampau dengan niat untuk mengganggu mana- mana orang.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berkata, tertuduh selaku pentadbir akaun Facebook “Bat Tuo Sai”, memuat naik komen yang mencerca dan penghinaan terhadap ayat suci Al- Quran dan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada hantaran Facebook Astro Awani berkaitan berita pemergian beliau.
“MCMC memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan platform digital yang boleh menghina agama, mencetuskan kebencian atau menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, MCMC mengingatkan orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah, bertanggungjawab serta mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.
Sebarang kandungan yang bersifat menghina, menghasut kebencian atau menyinggung sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja boleh dikenakan tindakan tegas di bawah undang-undang. -MalaysiaGazette
LAMPIRAN GAMBAR
















