Hospital Seberang Jaya.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengarahkan penutupan sementara Taska Pintar, Hospital Seberang Jaya susulan kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan ketika di bawah jagaan pengasuh di premis tersebut pada Isnin lalu.

JKM dalam kenyataan memaklumkan, arahan penutupan itu berkuatkuasa serta-merta bagi membantu siasatan kematian Hayl Haarith Mohd Syafaeez yang berusia empat bulan tiga hari.

Menurut JKM, bayi berkenaan telah ditempatkan di taska itu kira-kira sebulan sebelum kejadian selepas ibunya mula bertugas di Hospital Seberang Jaya.

“Sejurus menerima laporan kejadian, pegawai kebajikan masyarakat telah turun ke lokasi bagi menjalankan siasatan awal di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] yang melibatkan aspek perlindungan dan kebajikan kanak-kanak.

“Siasatan turut melibatkan pemeriksaan pematuhan premis di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 [Akta 308] serta peraturan pengoperasian yang berkaitan,” katanya.

Pada masa sama, JKM telah mengeluarkan perintah penutupan sementara taska di bawah perenggan 16(1)(a) Akta 308 terhadap Taska Pintar di Hospital Seberang Jaya sehingga siasatan lanjut selesai.

Katanya, JKM turut menyalurkan bantuan sokongan psikososial awal kepada ibu mangsa serta ahli keluarga yang terlibat bagi membantu mereka menghadapi situasi sukar tersebut.

Pihak jabatan juga katanya, mengambil maklum bahawa kes berkenaan sedang disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JKM akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

“Kerajaan menegaskan bahawa setiap Taska yang berdaftar di bawah Akta 308 perlu mematuhi semua peraturan yang ditetapkan termasuk dari segi kelayakan pengasuh serta prosedur keselamatan kanak-kanak,” tegas JKM.

Menurut JKM lagi, sekiranya siasatan mendapati berlaku sebarang pelanggaran undang-undang atau syarat pendaftaran, tindakan tegas termasuk penggantungan operasi atau pembatalan pendaftaran taska boleh diambil. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast