Suhaizan Kaiat.

JOHOR BAHRU – Pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN) di Johor dan Melaka boleh dirancang untuk diadakan serentak serta lebih awal sebelum tempoh mandat yang diberikan tamat.

Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat berkata, PRU-16 dan PRN Johor serta Melaka perlu dirancang secara strategik terutama dalam keadaan konflik di Asia Barat yang berpotensi memberi kesan terhadap ekonomi global.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu berkata, cadangan tersebut bagi menjimatkan kos serta mengurangkan ketidaktentuan politik.

“Pendekatan ini mempunyai beberapa kelebihan utama iaitu penjimatan kos yang besar kepada negara kerana pilihan raya tidak perlu diadakan secara berasingan.

“Mengurangkan keletihan politik (political fatigue) akibat pilihan raya yang kerap selain memberikan mandat yang lebih jelas dan stabil kepada kerajaan di semua peringkat untuk memberi tumpuan kepada pengurusan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu, negara memerlukan kestabilan politik, disiplin fiskal dan perancangan strategik agar Malaysia lebih bersedia menghadapi sebarang kesan daripada krisis global.

“Saya percaya cadangan ini wajar dipertimbangkan secara serius demi kepentingan negara dan rakyat,” katanya.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast