HULU LANGAT – Tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan isu sensitiviti agama termasuk perbuatan menghina atau memijak kitab suci al-Quran.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan menegaskan, semua tindakan perlu diserahkan kepada pihak berkuasa mengikut lunas undang-undang bagi mengelakkan ketegangan antara kaum dan agama.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai undang-undang serta badan penguat kuasa yang bertanggungjawab menangani perkara tersebut dan orang ramai tidak seharusnya mengambil tindakan sendiri.
“Kalau ada perkara yang kita tidak bersetuju, buat laporan kepada pihak polis dan serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
“Negara kita ada undang-undang dan badan penguat kuasa,” katanya pada sidang media penganjuran program mega komuniti Langek Kacau Dodol Madani 2.0 dan Karnival Mantai Perdana 2026 Parlimen Hulu Langat di sini, hari ini.
Menurutnya, sebarang perbuatan menghina kepercayaan agama adalah tidak wajar kerana setiap agama perlu dihormati dalam masyarakat majmuk seperti di negara ini.
Beliau menegaskan, walaupun Islam merupakan agama Persekutuan, penganut agama lain bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing dan perkara tersebut perlu dihormati oleh semua pihak.
Pada masa sama, Mohd Sany berkata, isu perpaduan tidak boleh dikompromi kerana keharmonian antara kaum menjadi asas kepada kestabilan serta kemajuan negara.
“Untuk membangunkan negara amat sukar, tetapi untuk menghancurkannya sangat mudah jika kita memainkan sentimen kaum, agama dan bangsa,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat agar memahami budaya, adat resam serta pantang larang antara kaum bagi mengelakkan salah faham dalam masyarakat berbilang bangsa.
Mohd Sany berkata, program kemasyarakatan seperti aktiviti memasak dodol dan mantai yang melibatkan pelbagai kaum merupakan antara inisiatif yang boleh mengukuhkan hubungan serta semangat kekeluargaan dalam komuniti.
Katanya, program seumpama itu sering dianjurkan dengan menjemput masyarakat pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India serta masyarakat Orang Asli untuk bersama-sama memeriahkan aktiviti komuniti.
“Melalui sukan, makanan dan perayaan, kita boleh bersatu. Kepelbagaian kaum sebenarnya menjadi kekuatan yang menyatukan rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

















Muka ko dah makin hitam dan berpenyakit.. mungkin sebab hati kot