HONG KONG – Harga minyak melonjak melepasi AS$100 setong manakala pasaran saham merosot pada Khamis apabila usaha baharu Iran untuk menyerang bekalan tenaga di Timur Tengah serta ancaman terhadap ekonomi global mengatasi kesan pelepasan rekod rizab minyak strategik oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).
Semalam, IEA mengumumkan negara anggotanya bersetuju melepaskan 400 juta tong minyak daripada simpanan mereka, pelepasan terbesar pernah dilakukan.
Namun langkah itu gagal meredakan kebimbangan terhadap gangguan bekalan tenaga dari Timur Tengah, dengan Selat Hormuz, laluan yang menyalurkan kira-kira satu perlima minyak mentah dunia kini ditutup sepenuhnya.
Ketika Iran meningkatkan usaha mengganggu bekalan di rantau itu, dua kapal tangki di perairan Iraq dilaporkan diserang pada Khamis.
Baghdad sebelum ini memaklumkan akan mengurangkan pengeluaran minyak akibat krisis tersebut, diikuti Kuwait dan pengeluar utama dunia, Arab Saudi.
Pada hari sama, Bahrain melaporkan, Iran melancarkan serangan terhadap tangki bahan api di negara itu, manakala Arab Saudi berkata, pihaknya berjaya memintas dron yang menuju ke medan minyak Shaybah.
Beberapa dron turut menyerang tangki bahan api di pelabuhan Salalah, Oman sehingga operasi di situ digantung.
Agensi maritim Britain dalam satu amaran pada Khamis berkata, sebuah kapal kontena berhampiran Emiriah Arab Bersatu terkena “peluru tidak dikenal pasti”.
Minyak mentah Brent melonjak ke paras tertinggi AS$101.59 setong, manakala West Texas Intermediate (WTI) hampir mencecah AS$96 setong.
Kedua-duanya sebelum ini meningkat sehingga 30 peratus pada Isnin kepada hampir AS$120 setong.
Walaupun kenaikan itu sedikit susut, penganalisis memberi amaran dengan konflik yang masih berlarutan, harga sekitar AS$90 hingga AS$100 setong mungkin menjadi paras baharu buat sementara waktu.
Iran menyatakan ia bersedia menghadapi perang berpanjangan yang boleh “memusnahkan” ekonomi dunia, sambil mengancam mana-mana kapal milik Amerika Syarikat atau sekutunya.
Pengawal Revolusi Iran pada Rabu turut mengancam untuk menyerang “pusat ekonomi dan bank” yang berkait dengan kepentingan AS dan Israel.
“Kedua-duanya mesti mempertimbangkan kemungkinan mereka akan terlibat dalam perang berpanjangan yang akan memusnahkan keseluruhan ekonomi Amerika dan ekonomi dunia,” kata penasihat kepada komander tertinggi Pengawal Revolusi, Ali Fadavi, kepada televisyen negara.
Agensi berita Tasnim Iran turut menyiarkan senarai sasaran teknologi berpotensi, termasuk pejabat syarikat Amazon, Google, Microsoft dan Nvidia di negara Teluk serta Israel.
Penganalisis memberi amaran gangguan berpanjangan terhadap laluan perkapalan di Selat Hormuz — yang turut menyalurkan kira-kira satu pertiga baja yang digunakan dalam pengeluaran makanan global — akan memberi kejutan ekonomi besar, khususnya kepada Asia dan Eropah.
Sektor penerbangan antara yang paling terjejas apabila banyak syarikat penerbangan terpaksa menyusun semula laluan penerbangan melalui Timur Tengah, selain menanggung kos bahan api yang meningkat. Air New Zealand pada Khamis berkata, ia akan mengurangkan 1,100 penerbangan dalam tempoh dua bulan akan datang.
Kerajaan New Zealand jugasedang mempertimbangkan penggunaan undang-undang lama yang mengehadkan penggunaan kenderaan sekiranya bekalan bahan api semakin berkurangan.
Di Australia pula, pihak berkuasa mengumumkan mereka akan melonggarkan piawaian kualiti bahan api dengan membenarkan tahap sulfur lebih tinggi selama kira-kira dua bulan bagi menambah 100 juta liter bekalan domestik.
Lonjakan harga minyak ini turut mencetuskan kebimbangan mengenai peningkatan semula inflasi dan kemungkinan kenaikan kadar faedah, selepas bank pusat sebelum ini mempertimbangkan pemotongan kadar hanya bulan lalu.
Keadaan itu menekan pasaran saham yang kembali merosot pada Khamis.
Bursa di Tokyo, Hong Kong, Shanghai, Sydney, Seoul, Mumbai, Wellington, Singapura, Taipei, Manila dan Jakarta semuanya mencatatkan penurunan ketara.
“Apabila ‘penggera geopolitik’ masih berbunyi di sekitar Selat Hormuz, pelepasan minyak daripada stok kecemasan lebih kepada simbolik berbanding penyelesaian sebenar,” kata Stephen Innes dari SPI Asset Management.
“Ia mungkin meredakan turun naik harga buat beberapa jam, tetapi tidak mampu mengubah risiko apabila laluan perkapalan terpenting dunia berada dalam ancaman.
“Dalam bahasa dagangan, pelepasan IEA itu ibarat menyembur hos taman untuk memadam kebakaran besar di kilang penapisan.”
Namun begitu, Presiden AS Donald Trump sekali lagi menegaskan hampir menamatkan konflik itu.
“Mereka hampir sampai ke penghujungnya,” katanya kepada wartawan selepas berucap kepada penyokongnya dengan menyatakan: “Kita telah menang… kita menang dalam sejam pertama semuanya sudah berakhir.”
Bagaimanapun, tentera Israel memberi isyarat serangan itu masih jauh daripada selesai dan mereka masih mempunyai “senarai sasaran yang luas”. – Agensi
















