Anthony Loke mengadakan mesyuarat bersama pengurusan syarikat penerbangan, operator lapangan terbang, pembekal bahan api jet serta pihak berkuasa sektor udara.
Anthony Loke mengadakan mesyuarat bersama pengurusan syarikat penerbangan, operator lapangan terbang, pembekal bahan api jet serta pihak berkuasa sektor udara.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan bahawa keutamaan ketika ini memastikan perkhidmatan kargo udara terutama bekalan makanan terus beroperasi walaupun dunia berdepan lonjakan harga bahan api susulan konflik Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau telah mengadakan pertemuan bersama pengurusan syarikat penerbangan, operator lapangan terbang, pembekal bahan api jet serta pihak berkuasa sektor udara bagi menyusun gerak kerja menghadapi situasi semasa.

“Saya baru sahaja berjumpa dengan pihak pengurusan syarikat penerbangan, operator lapangan terbang, pembekal bahan api jet dan pihak berkuasa sektor udara untuk menyusun gerak kerja dalam menghadapi konflik antara Amerika Syarikat/Israel dan Iran yang telah menyebabkan harga bahan api dunia mencanak,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut beliau, dalam tempoh terdekat, fokus utama kementerian adalah memastikan rantaian bekalan tidak terjejas, khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lazimnya menyaksikan peningkatan permintaan barangan makanan.

“Dalam jangka pendek, kita perlu memastikan perkhidmatan pengangkutan kargo udara bagi barangan seperti makanan dapat terus beroperasi walaupun keadaan semakin mencabar, terutamanya menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri,” jelasnya.

Loke berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) turut mengambil maklum cabaran besar yang sedang dihadapi syarikat penerbangan susulan kenaikan mendadak kos bahan api.

“Memandangkan kos bahan api mencecah hampir separuh daripada kos operasi, syarikat-syarikat penerbangan mungkin perlu menghentikan operasi penerbangan tertentu jika kos bahan api terus meningkat,” katanya.

Sehubungan itu, MOT akan mengadakan perbincangan lanjut bersama pihak lapangan terbang dan pemegang taruh berkaitan bagi memastikan kelangsungan operasi syarikat penerbangan tempatan tidak terjejas.

Loke turut memaklumkan syarikat penerbangan akan berkongsi data operasi dengan pihak berkuasa penerbangan bagi membolehkan penilaian risiko dibuat secara lebih menyeluruh dan tepat.

Tambahnya, semua pihak terlibat bersetuju untuk mengadakan mesyuarat secara mingguan memandangkan krisis tersebut masih tidak menentu dan memerlukan tindak balas pantas sekiranya berlaku perkembangan baharu.

Semalam, Kabinet menubuhkan satu Jawatankuasa Khas bagi menangani isu penyeludupan, terutama membabitkan diesel dan petrol ekoran kenaikan harga minyak dunia.

Katanya, langkah itu susulan kerajaan masih mampu mengekalkan harga subsidi petrol RON95 di bawah program Budi Madani (BUDI95) pada harga RM1.99 seliter walaupun harga pasaran jauh lebih tinggi, malah jika dibandingkan dengan negara lain, boleh mencecah sehingga tiga kali ganda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast