PASIR MAS – Kegembiraan menanti sambutan Aidilfitri bertukar detik pilu buat enam sekeluarga apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Paloh Hilir, Tendong, Pasir Mas, Kelantan malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 9.45 malam itu, rumah mereka musnah sekali gus menyebabkan semua persiapan majlis pertunangan serta barangan untuk sambutan Aidilfitri dan yang paling menyedihkan hampir 30 ekor kucing peliharaan turut menjadi terkorban.
Nurul Rizan Bujang yang mendapat panggilan dari anaknya yang memaklumkan rumahnya terbakar selepas 15 minit dia keluar ke Kota Bharu untuk mencari barangan keperluan hari raya.
“Rumah ini saya duduk lebih 30 tahun, ia peninggalan arwah ayah, hari ini habis segala-galanya musnah tapi saya terpaksa hadap kerana ini satu ketentuan,” katanya.
Menurut Nurul Rizan, kebakaran itu turut memusnahkan beberapa buah kereta, motosikal, baju raya, barangan emas, barangan persiapan majlis pertunangan anaknya.
Sementara itu, anaknya, Mohd Aizat Bin Azmi berkata, kebakaran mula disedari setelah dimaklumkan oleh adiknya ketika sedang menonton televisyen yang ternampak kepulan asap dari bahagian atap.
“Saya tengok api mula merebak dari bilik adik dan ketika itu saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana terkejut cuma hanya mampu menyelamatkan tiga orang adik saya yang bersama dengan saya dan seorang lagi adik saya terjun dari tingkap untuk menyelamatkan diri”, katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Pegawai Bomba Kanan ll, Sukri Ramli berkata, mereka menerima panggilan kecemasan kebakaran itu pukul 9.46 malam dan operasi terkawal kira-kira 10.48 malam.
Beliau berkata, sebanyak 14 orang anggota BBP Wakaf Bharu dan Tunjong dalam operasi itu. – MalaysiaGazette
















