KUALA LUMPUR – Dua kanak-kanak ditemui dalam keadaan separa sedar selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah apartment di tingkat tiga di Jalan 1 Emas, Taman Megah Emas, Petaling Jaya, pagi tadi.
Kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan oleh anggota bomba sebelum diberikan rawatan awal dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.37 pagi.
Katanya, seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara dengan bantuan BBP Petaling Jaya bergegas ke lokasi kejadian sejauh kira-kira enam kilometer dan tiba pada pukul 10.46 pagi.
Menurut laporan Komander Operasi, PBK I Muhamad Munir Suied, kebakaran melibatkan sebuah unit apartment empat tingkat dengan keluasan kira-kira 600 kaki persegi di tingkat tiga yang terbakar sekitar 50 peratus di bahagian ruang tamu.
Katanya, ketika operasi pemadaman dijalankan, anggota bomba menemui dua mangsa kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia lingkungan empat hingga enam tahun di dalam sebuah bilik dalam keadaan separa sedar.
“Kedua-dua mangsa kemudian dikeluarkan dari premis sebelum diberikan rawatan oleh Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
“Mangsa seterusnya dihantar ke Hospital KJMC menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut,” jelas beliau.
Katanya lagi, operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 10.54 pagi, manakala kerja-kerja overhaul masih dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
Tambah beliau, kedua-dua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil pada pukul 11.30 pagi dan kini menerima rawatan di hospital berkenaan. – MalaysiaGazette
















