KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengagihkan 16,500 bakul makanan ke seluruh negara sebagai langkah intervensi awal menangani kesan ‘badai ekonomi’ semasa.
Menterinya, Datuk Seri R Ramanan berkata, bakul makanan berkenaan dijangka akan memberi manfaat kepada lebih kurang 100,000 rakyat dalam kalangan B40.
“Ia akan diberikan kepada golongan B40 yang ada di kawasan-kawasan Parlimen bergantung kepada pemimpin contohnya menerusi Ketua Kampung, Ahli Majlis, ketua komuniti. Sebab mereka sahaja tahu di mana komuniti-komuniti B40 di kawasan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Majlis Pelepasan (Flag Off), Sumbangan Bakul Makanan Ziarah Madani sempena Aidilfitri di Kepong hari ini.
Sebagai rekod, program berkenaan diteraju Bersama oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Human Resource Development Corporation (HRD Corp), Talent Corp, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) serta Institusi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).
Terdahulu ketika berucap, Ramanan berkata, perangkaan terkini menyaksikan kadar kemiskinan tegar nasional menyusut kepada 0.09 peratus setakat dua tahun lalu.
Mengulas lanjut beliau menegaskan, keputusan kerajaan untuk tidak menganjurkan rumah terbuka sempena Aidilfitri adalah langkah baik untuk penjimatan.
“Kena faham kenapa kita buat sebab kita sedang mengalami perang di Asia Barat, keadaan ekonomi kita sekarang bagus tapi kita tidak boleh sia-siakannya.
“Kalau nak buat secara personal boleh, secara individu jemput rakan-rakan rapat, keluarga tapi tidak perlu masak untuk beribu-ribu orang kemudian tidak habis dimakan. Itu boros,” ujarnya.
Pada 11 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua kementerian, agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak akan menganjurkan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri tahun ini.
Menurutnya, ia sebagai langkah berjimat cermat susulan ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik di Asia Barat.-MalaysiaGazette
















