Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashimi ketika Sidang Media berkaitan pelaburan yang disyaki tidak sah anjuran sebuah syarikat koperasi di Nasken Coffee, Jalan Tasik Utama Sg Besi. Foto SYADILA AMARI, 6 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR –  Mangsa pinjaman tidak berlesen atau ahlong tidak sepatutnya membayar sebarang tuntutan hutang kerana perjanjian dengan pemberi pinjam wang haram adalah tidak sah di sisi undang-undang.

Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, ramai mangsa beranggapan mereka tetap perlu membayar pinjaman walaupun dibuat dengan ahlong, sedangkan undang-undang negara sebenarnya tidak mengiktiraf perjanjian tersebut.

“Ahlong ini menyalahi undang-undang. Walaupun kita bayar, kita tetap terdedah kepada risiko jenayah dan gangguan. Sebab itu saya tegaskan, pinjaman dengan ahlong tidak boleh dibayar kerana ia bertentangan dengan undang-undang,” katanya dalam laman sosial hari ini.

Beliau mengulas isu kegiatan pinjaman wang tidak berlesen yang terus menjerat ramai mangsa, termasuk mereka yang meminjam dalam jumlah kecil tetapi akhirnya terperangkap dengan hutang yang berlipat kali ganda.

Hishamuddin menjelaskan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, mana-mana individu yang mengiklankan, menjalankan atau menawarkan pinjaman wang tanpa lesen melakukan kesalahan jenayah.

Menurutnya, Seksyen 5(2) akta tersebut memperuntukkan bahawa individu yang menjalankan kegiatan pemberi pinjam wang tanpa lesen boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun jika disabitkan kesalahan.

“Selain itu, pesalah juga boleh dikenakan denda minimum RM250,000 sehingga maksimum RM1 juta,” ujarnya.

Beliau menjelaskan undang-undang sama turut menetapkan kadar faedah maksimum yang boleh dikenakan oleh pemberi pinjaman wang berlesen.

Katanya, Seksyen 17A Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 memperuntukkan kadar faedah maksimum sebanyak 12 peratus setahun bagi pinjaman bercagar dan 18 peratus setahun bagi pinjaman tanpa cagaran.

“Kadar ini bersamaan kira-kira 1.5 peratus sebulan. Jika pemberi pinjam wang mengenakan kadar faedah melebihi had ini, undang-undang membolehkan tindakan diambil terhadap mereka,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau menegaskan perjanjian antara mangsa dan ahlong juga tidak sah di sisi undang-undang.

Menurutnya, perkara itu diperuntukkan di bawah Akta Kontrak 1950, khususnya Seksyen 24 yang menyatakan sesuatu perjanjian dianggap tidak sah sekiranya ia bertentangan dengan undang-undang.

“Perjanjian dengan ahlong, sama ada dibuat secara lisan atau bertulis, tidak sah kerana ia melibatkan aktiviti yang dilarang oleh undang-undang.

“Apabila pemberi pinjam wang itu sendiri tidak mempunyai lesen dan mengenakan faedah melampau, maka perjanjian tersebut tidak boleh dikuatkuasakan,” katanya.

Sehubungan itu, Hishamuddin menggesa orang ramai yang menjadi mangsa ahlong supaya tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa serta mendapatkan bantuan daripada organisasi berkaitan bagi menghentikan kegiatan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast