Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang melaksanakan kerja penyelenggaraan jalan secara menyeluruh di kawasan perumahan awam (PA) dan projek perumahan rakyat (PPR) bagi memastikan kemudahan asas di kawasan perumahan itu berada dalam keadaan selamat dan selesa untuk penduduk.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, ia termasuk kerja penurapan semula jalan melibatkan keseluruhan 51 kawasan PA dan PPR di sekitar ibu negara.

Menurut beliau, usaha tersebut dilaksanakan secara berperingkat sebagai sebahagian daripada komitmen DBKL untuk menambah baik kemudahan infrastruktur di kawasan kediaman rakyat berpendapatan rendah.

“Kerja penurapan ini penting bagi memastikan keadaan jalan di kawasan perumahan sentiasa berada pada tahap yang baik selain mengurangkan risiko kemalangan atau kerosakan kenderaan.

“Setakat ini beberapa lokasi telah siap diturap dan kerja-kerja di kawasan lain akan diteruskan secara berfasa sehingga meliputi kesemua 51 kawasan yang dikenal pasti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memaklumkan perkembangan projek penyelenggaraan jalan di kawasan PA dan PPR di Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Menurut Hannah, antara kawasan yang telah melalui kerja penurapan termasuk beberapa projek perumahan rakyat yang sering digunakan sebagai laluan utama penduduk.

Tambahnya, penyelenggaraan jalan dalaman di kawasan perumahan rakyat amat penting kerana ia digunakan setiap hari oleh penduduk selain menjadi laluan perkhidmatan kecemasan serta kenderaan utiliti.

Dalam masa sama, ujarnya, DBKL akan terus memantau keadaan infrastruktur di kawasan PA dan PPR supaya sebarang kerosakan dapat dibaiki dengan segera.

Jelasnya, langkah itu diharap dapat meningkatkan tahap keselamatan serta keselesaan komuniti yang menetap di kawasan perumahan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast