KUALA LUMPUR – MIC mengalu-alukan pendirian dan kenyataan Barisan Nasional (BN) dalam retreat BN di Putrajaya baru-baru ini, yang mana parti itu akan bertanding 115 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Pengarah Strategi Nasional MIC, Datuk C. Sivaraj berkata, perkara itu merupakan satu langkah yang kukuh bagi memastikan BN kembali menjadi parti dominan yang berhasrat menerajui kepimpinan negara selepas PRU akan datang.
Menurut beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, kenyataan itu juga dilihat sebagai satu perkembangan yang positif oleh parti-parti komponen serta Friends of BN, khususnya MIC.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepimpinan BN supaya memulakan tahap kesiapsiagaan menghadapi PRU dengan menamakan penyelaras pilihan raya bagi 115 kerusi Parlimen serta kerusi-kerusi DUN yang akan ditandingi dengan segera.
“Langkah ini akan menunjukkan komitmen dan kesungguhan BN untuk bertanding dan memenangi 115 kerusi Parlimen pada PRU akan datang.
“Saya percaya langkah ini merupakan antara pendekatan penting bagi BN meyakinkan rakyat bahawa gabungan ini benar-benar bersedia dan komited untuk menerajui negara selepas PRU nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, Sivaraj yang juga Ahli Dewan Negara menyeru kepimpinan BN segera melantik penyelaras-penyelaras Parlimen dan DUN bagi memulakan kerja-kerja persiapan pilihan raya dari sekarang.
Ujarnya, beliau percaya langkah itu akan memberi keyakinan kepada semua parti komponen dan Friends of BN bahawa BN benar-benar ikhlas dan komited dengan keputusan untuk bertanding 115 kerusi Parlimen serta lebih banyak kerusi DUN.
Tambahnya, ia juga sekali gus membolehkan jentera BN bergerak secara strategik bermula dari sekarang di setiap kawasan Parlimen dan DUN.
“Saya juga percaya bahawa pelantikan penyelaras Parlimen bagi 115 kerusi Parlimen dan DUN akan mempamerkan kesungguhan BN kepada semua parti komponen serta Friends of BN untuk terus bekerja kuat bagi menghadapi PRU akan datang,” katanya.
















