Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bergambar bersama penerima sumbangan raya pada Sesi Libat Urus Pengurusan Tertinggi KPM Bersama-Sama Pengamal Media Sempena Ramadan 2026 di Permata Kurnia, Sentul, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 16 MAC 2026.

KUALA LUMPUR – Program Permata Kurnia akan diperluaskan ke seluruh negara dengan pembukaan 11 pusat baharu bagi membantu lebih ramai kanak-kanak autisme mendapatkan intervensi awal serta persediaan sebelum memasuki alam persekolahan.

Pengarah Pusat Permata Kurnia, Dr Zuraidah Ismail berkata, program khas itu memberi fokus kepada kanak-kanak autisme berusia antara dua hingga enam tahun melalui tiga modul utama iaitu intervensi awal bersama ibu bapa, program transisi serta program prasekolah bagi mempersiapkan mereka ke peringkat sekolah rendah.

Pengarah Permata Kurnia, Zuraidah Ismail bercakap pada media selepas Sesi Libat Urus Pengurusan Tertinggi KPM Bersama-Sama Pengamal Media Sempena Ramadan 2026 di Permata Kurnia, Sentul, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 16 MAC 2026.

Katanya, di Pusat Permata Kurnia ketika ini, program intervensi awal dilaksanakan dengan penglibatan ibu bapa dan anak-anak bagi membantu perkembangan awal kanak-kanak autisme sebelum mereka mengikuti program seterusnya.

“Selain program intervensi awal, kita juga menyediakan program transisi dan akhirnya program prasekolah sebagai persediaan anak-anak ini sebelum memasuki Tahun Satu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Libat Urus Pengurusan Tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bersama Pengamal Media Sempena Bulan Ramadan Tahun 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata, setiap tahun, pusat tersebut mengambil maksimum 300 kanak-kanak autisme dan selain pusat di Sentul, Kuala Lumpur, terdapat juga pusat Permata Kurnia di Putrajaya.

Tambahnya, sebuah lagi pusat baharu dijangka mula beroperasi pada Mei ini di Alor Setar, Kedah sebagai sebahagian daripada pelan peluasan program tersebut.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, Permata Kurnia menerima kanak-kanak autisme daripada tiga kategori tahap sokongan iaitu tahap sokongan rendah, sederhana dan tinggi.

“Di Permata Kurnia, kira-kira 50 peratus daripada kanak-kanak yang diterima merupakan mereka yang memerlukan tahap sokongan tinggi,” katanya.

Dari segi tenaga pengajar, beliau berkata, pusat tersebut menempatkan guru daripada Kementerian Pendidikan (KPM) yang mempunyai latar belakang pendidikan khas dan pendidikan awal kanak-kanak.

Selain itu, terdapat juga pegawai intervensi daripada Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk ahli terapi pertuturan dan terapi cara kerja yang bekerjasama dengan guru dalam kelas.

Turut terlibat ialah pembantu intervensi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang membantu pelaksanaan program di dalam kelas.

Bagi memastikan tenaga pengajar sentiasa mengikuti pendekatan terkini dalam pendidikan kanak-kanak autisme, latihan berkala turut dilaksanakan termasuk sesi latihan dalam talian setiap bulan.

Menurutnya, latihan tersebut bukan sahaja bertujuan meningkatkan kompetensi guru malah memberi pendedahan kepada ibu bapa serta masyarakat mengenai pendekatan terbaik dalam membantu kanak-kanak autisme.

Sementara itu Setiausaha Bahagian Permata, Dr Nor Suhara Fadzil berkata, Permata Kurnia turut menghasilkan modul dan bahan rujukan termasuk buku panduan untuk ibu bapa bagi membantu mereka menyokong perkembangan anak di rumah.

Setiausaha Bahagian PERMATA (KPM), Nor Suhara Fadzil bercakap pada media selepas Sesi Libat Urus Pengurusan Tertinggi KPM Bersama-Sama Pengamal Media Sempena Ramadan 2026 di Permata Kurnia, Sentul, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 16 MAC 2026.

Beliau berkata, pihaknya juga mengadakan sesi dalam talian bulanan dikenali sebagai program “Tanyalah Permata Kurnia” bagi memberi ruang kepada ibu bapa dan masyarakat mendapatkan maklumat serta panduan berkaitan autisme.

“Rakaman serta bahan berkaitan turut dikongsikan melalui media sosial seperti Facebook, TikTok dan Instagram bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai program serta kaedah membantu anak autisme,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Permata Kurnia juga membuka pengambilan pertama bagi pusat baharu di Alor Setar dengan sasaran awal seramai 25 kanak-kanak autisme.

Ibu bapa yang mempunyai anak yang telah didiagnosis autisme serta memiliki kad OKU boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui maklumat yang telah disebarkan di media sosial Permata Kurnia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast