Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan menerima empat laporan berhubung kes pajakan emas melibatkan sebuah premis Ar-Rahnu di Sungai Besi, selepas pengadu mendakwa emas yang ditebus dengan nilai keseluruhan mencecah kira-kira RM225,530 adalah palsu.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, dua laporan pertama dibuat pada 10 Mac lalu oleh dua lelaki tempatan iaitu pembeli surat pajakan dan pemilik emas terbabit.

Beliau berkata, dua lagi laporan susulan telah dibuat oleh pihak pengurusan Ar-Rahnu masing-masing pada 11 dan 13 Mac bagi menafikan dakwaan yang dikemukakan oleh pengadu.

“Siasatan awal mendapati pengadu telah menggadaikan sebanyak 19 keping jongkong emas (Gold Bar) dalam tempoh antara 28 Julai 2025 hingga 3 September 2025 sebelum menebus semula barangan tersebut.

“Bagaimanapun, pada 10 Mac 2026, pengadu tampil mendakwa emas yang ditebus adalah palsu,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan laporan utama kes tersebut telah dirujuk kepada Bank Negara Malaysia (BNM) memandangkan aspek pelesenan serta penyelarasan operasi Ar-Rahnu berada di bawah selia bank pusat itu.

“Sementara itu, laporan-laporan lain turut dirujuk bersama bagi tindakan lanjut,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast