JOHOR BAHRU – “Detik itu memang mencemaskan kerana kami perlu mengeluarkan lima mangsa kemalangan dari dua kenderaan.
“Ini termasuk dua yang sudah terkorban dengan pantas kerana kenderaan dinaiki mereka terbakar,” kata jururawat Klinik Kesihatan Bayu Damai, Nurain Adam, 33.
Nurain berkata, kejadian berlaku pukul 9.20 pagi, pada 11 Oktober tahun lalu ketika dia bersama-sama suami, Pegawai Bomba Kanan 1, Muhammad Sabri Ramli, 38, yang merupakan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai dalam perjalanan ke Pasir Gudang atas urusan tertentu.
Menurutnya, ketika tiba di Kilometer 52 di Lebuh Raya Senai-Desaru (SDE), mereka terserempak dengan kejadian kemalangan membabitkan dua kenderaan.
Suaminya tidak berfikir panjang untuk meninjau kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu di laluan bertentangan apabila terlihat asap dari kereta.
“Saya juga melihat tindakan suami membuka pintu belakang penumpang kereta jenis Volkswagen Golf sebelum terlihat tubuh seseorang.
“Saya berpesan kepada tiga anak kami dalam kereta untuk menunggu di kereta sementara saya terus ke arah kereta itu bagi menawarkan bantuan.
“Ketika itu saya terkilan apabila sesetengah pengguna jalan raya hanya bertindak merakam video dan gambar serta menyatakan belum menghubungi talian kecemasan,” katanya.
Menurutnya, perkara utama yang dilakukannya adalah menghubungi talian kecemasan sebelum bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit termasuk empat di kereta Volkswagen serta seorang lagi dalam kereta Toyota Fortuner.
Katanya, malangnya dua mangsa yang menaiki Volkswagen maut di tempat kejadian manakala dua dalam keadaan parah.
“Bukan mudah untuk mengeluarkan mangsa terutama mereka yang sudah terkorban kerana tubuh mereka lebih berat.
“Dia dan suaminya meminta bantuan orang ramai di lokasi berkenaan untuk bertindak segera bagi mengelakkan mangsa di kedua-dua kereta terperangkap dalam kebakaran,” katanya.
Selepas memastikan semua penumpang dikeluarkan, dia bergegas ke keretanya bagi mengalihkan kenderaan itu kerana berisiko terbakar kerana terletak berhampiran dengan kereta mangsa.
“Hanya beberapa saat selepas itu, kebakaran membabitkan dua kenderaan itu marak,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Sabri berkata, dia mengalami kecederaan ringan ketika membantu mangsa kemalangan itu.
“Sekurang-kurangnya kami dapat membantu mengeluarkan mangsa bagi mengelakkan mereka terperangkap dalam kereta yang terbakar itu.
“Selepas kejadian, kami juga menerima panggilan daripada keluarga mangsa yang berterima kasih atas pertolongan kami.
“Selain saya dan isteri, pengguna jalan raya yang lain di lokasi kejadian juga banyak membantu,” katanya.
Pasangan itu ditemukan selepas menerima sijil penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor di Ibu Pejabat JBPM Negeri Johor, di sini hari ini.
Penyerahan sijil penghargaan itu disempurnakan oleh Pengarahnya, Siti Rohani Nadir.
Dalam kejadian pada 11 Oktober tahun lalu, tiga terkorban.
Toyota Fortuner yang terbakar turut didapati membawa rokok seludup.
Pemandu dan dua penumpang Volkswagen Golf maut yang mana dua meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.- MalaysiaGazette
















