Peguam tertuduh, Sivahnanthan Ragava dibantu Cyrus Tiu Foo Woei.

KUALA LUMPUR – Seorang penyanyi wanita yang merupakan orang kena tuduh (OKT) ketiga yang dikenali sebagai Emily dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini tanpa dipanggil membela diri dalam kes pengedaran dadah hari ini.

Tertuduh sekaligus terlepas daripada hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Noor Ruwena Nordin selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Emily sebelum ini didakwa bersama-sama tiga individu lain mengedar dadah jenis kokain seberat kira-kira 400 gram di sebuah kediaman di Brickfields pada 23 November 2023.

Menurut pihak pendakwaan, dadah berkenaan ditemukan di dalam rumah tersebut ketika serbuan dijalankan.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.

Peguam Emily, Sivahnanthan Ragava yang dibantu Cyrus Tiu Foo Woei berkata, keputusan itu jelas menunjukkan tiada bukti kukuh untuk mengaitkan anak guamnya dengan dadah yang ditemui.

“Walaupun pendakwaan menyatakan dadah dijumpai di dalam rumah, mahkamah mendapati tiada keterangan jelas yang mengaitkan anak guam saya dengan bahan tersebut.

“Malah, mahkamah juga tidak berpuas hati dengan keterangan yang dikemukakan dan mendapati tiada elemen kawalan oleh beliau terhadap dadah berkenaan.

“Dalam kes serius seperti ini, beban pembuktian adalah tinggi, dan di dalam kes ini pihak pendakwaan gagal membuktikan kes,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Untuk makluman, bagi tiga orang tertuduh lain yang diwakili peguam masing-masing, mahkamah memutuskan terdapat kes prima facie terhadap mereka dan dipanggil untuk membela diri.

Tertuduh pertama diwakili peguam C Paul, tertuduh kedua oleh Jay Moy manakala tertuduh keempat diwakili Gurmit.

Manakala kes ini telah dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast