LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan dua bot nelayan tempatan yang disyaki menjalankan aktiviti perikanan tanpa lesen sah serta menggunakan peralatan menangkap ikan dilarang dalam dua kejadian berasingan di perairan Perak.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, bot pertama ditahan kira-kira pukul 2.12 pagi semalam di kedudukan sekitar 3.9 batu nautika barat laut Batu Tanjung Hantu ketika melaksanakan rondaan Op Sayong, Op Pintas, Op Khas Tanjung 2 dan Op Tiris.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua kru termasuk tekong warga Malaysia berumur 24 dan 45 tahun berada di atas bot berkenaan,” katanya dalam hantaran rasmi di Facebook.

Bot terbabit disyaki melakukan beberapa pelanggaran syarat lesen perikanan di bawah Akta Perikanan 1985, termasuk tidak mempunyai lesen perikanan sah serta memiliki dan menggunakan peralatan menangkap ikan dilarang iaitu bubu naga.
Kesemua kru termasuk tekong bersama 19 unit bubu naga ditahan dan dirampas sebelum diiringi ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia.
Dalam kejadian berasingan, sebuah lagi bot nelayan tempatan ditahan kira-kira pukul 2.58 pagi Sabtu lalu di kedudukan sekitar 3.4 batu nautika barat laut Batu Tanjung Hantu.
Pemeriksaan mendapati terdapat tiga kru termasuk tekong warga Malaysia berumur lingkungan 38 hingga 42 tahun berada di atas bot berkenaan.
Bot berkenaan turut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai lesen perikanan sah serta menggunakan dan memiliki peralatan menangkap ikan yang dilarang.
Kesemua kru termasuk tekong bersama 87 unit bubu naga turut ditahan dan dirampas sebelum dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Secara keseluruhannya, 106 unit bubu naga dirampas Maritim Malaysia Negeri Perak dalam kedua-dua kes berkenaan. – MalaysiaGazette
















