Tamim Dahari Abdul Razak.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan aktivis, Tamim Dahri yang didakwa melarikan diri ke Thailand sebelum ini, kini dipercayai berada di Tanah Suci, Arab Saudi.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya masih giat mengesan individu itu untuk dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan merosakkan simbol suci agama Hindu.

“Laporan kami menunjukkan dia (Tamim Dahri) sudah pergi ke Thailand tetapi ada juga maklumat dia mungkin berada di Tanah Suci.

“Tindakan kita tuduh di mahkamah sudah dibuat dan apabila sampai masanya, kita akan ambil tindakan untuk hadap (bawa) dia (ke mahkamah untuk pertuduhan),” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini hari ini.

Sebelum ini, Mohd Khalid melaporkan empat individu termasuk Penyelaras Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), Zamri Vinoth dan aktivis, Arun Dorasamy, akan didakwa berkaitan kes provokasi agama.

Selain Zamri Vinoth dan Arun Dorasamy, dua lagi yang dituduh ialah Tamim Dahri dan P. Mahendra Boopathy di mahkamah majistrest secara berasingan.

Tamim Dahri sepatutnya dituduh di Mahkamah Langkawi mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana didakwa merosakkan objek soolam, simbol suci bagi penganut Hindu di tapak lama Kuil Sri Maha Muniswarar di Langkawi, Kedah.

Bagaimanapun, pertuduhan itu ditangguhkan kerana beliau berada di luar negara.

Majistret Hemy Annerina Haja Mydin menetapkan 17 Mei ini untuk disebut semula selepas pihak pendakwaan memohon penangguhan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast