Brendon Carolan.

KUALA LUMPUR – Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) tidak akan menyambung kontrak Ketua Jurulatih Skuad Hoki Kebangsaan, Sarjit Singh bagi menghadapi Piala Dunia 2026 dan Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.

Presiden KHM Datuk Seri Subahan Kamal berkata keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif badan induk berkenaan yang turut memutuskan untuk melantik Brendon Carolan bagi mengisi kekosongan jawatan itu berkuat kuasa 1 April ini.

Menurut beliau, penamatan kontrak Sarjit bukanlah satu pemecatan tetapi bagi membuat penstrukturan baharu dalam barisan kejurulatihan untuk mencapai keputusan lebih cemerlang buat skuad Speedy Tigers.

“Kontrak Sarjit tidak disambung menjelang persiapan ke Piala Dunia 2026 namun kami amat menghargai jasa dan pengorbanannya sejak Mac 2024 sehingga berjaya membawa pasukan layak ke kejohanan itu,” katanya katanya pada sidang media yang diadakan di Stadium Hoki Nasional di Bukit Jalil di sini semalam.

Dalam pada itu, Subahan berkata keputusan berkenaan dibuat selaras dengan hala tuju baharu badan induk itu yang mahu memberi penekanan terhadap aspek kemahiran taktikal pasukan.

“Kami mahu fokus kepada peningkatan kemahiran taktikal pasukan dan percaya Brendon (Carolan) memiliki keupayaan untuk membantu memacu skuad kebangsaan ke tahap lebih baik,” katanya.

Carolan adalah jurulatih kelahiran Afrika Selatan dan menetap di Dublin, Ireland dan pernah bersama-sama dalam skuad negara sebagai pembantu jurulatih sebelum ini.

Beliau juga memiliki pengalaman sebagai jurulatih sementara pasukan Ireland selain pernah berperanan sebagai perunding hoki kepada kelab Gantoise.

Carolan akan membimbing skuad negara bagi menghadapi Piala Negara-Negara di Afrika Selatan pada Jun ini sebelum beraksi pada Piala Dunia 2026 di Belgium-Belanda.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast