SEPANG – Demi menyambut raya bersama keluarga di pagi Syawal – ada yang sanggup ‘pejam mata’ berbelanja sehingga RM5,000 untuk tiket penerbangan saat akhir – walaupun harganya melonjak jauh.

Gelombang pembelian tiket ‘last minit’ dikesan semakin rancak menjelang Aidilfitri susulan ketidaktentuan tarikh 1 Syawal selain faktor harga yang berubah-ubah.

Tinjauan MalaysiaGazette di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), walaupun ada penggunaa yang merungut mahal namun hasrat untuk pulang tetap mengatasi segalanya.

Syarifah Azuna Syed Hussein
Syarifah Azuna Syed Hussein

Bagi Syarifah Azuna Syed Hussein yang pulang ke Sarikei, Sarawak, keputusan membeli tiket pada saat akhir menyebabkan kos perjalanan keluarganya melonjak hampir dua kali ganda.

Beliau mendedahkan terpaksa memperuntuk RM5,000 bagi tiket dua hala untuk enam ahli keluarga tahun ini berbanding hanya sekitar RM3,000 tahun lalu.

“Ini perancangan last minit dengan anak kecil memang rasa tergesa-gesa, mujur hari ini (Jumaat) tidak raya. Kos memang bertambah hingga RM5,000 untuk enam orang tiket pergi balik.

“Beza harga memang banyak dari tahun lepas sebab tahun lepas saya belanja dalam RM3,000 sahaja untuk tiket kapal terbang, tahun ini bertambah kos sebanyak RM2,000 lagi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Menurutnya, walaupun terasa ‘pedih’ melihat jumlah yang perlu dibayar, segalanya terubat apabila melihat keterujaan anak-anak untuk bertemu nenek dan datuk di kampung.

“Saya beli tiket hari ini sebab itu sahaja yang murah, sebab sebelum ini mahal.

“Suasana nak pulang ke kampung sambut Aidilfitri, anak-anak happy tapi untuk kita ibu bapa ini banyak guna duit tapi terpaksa juga sebab nak pulang beraya, anak-anak excited nak balik beraya jumpa nenek dan datuk.”

Faridah Yacho
Faridah Yacho

Berbeza pula dengan Faridah Yacho, 41, yang pulang ke Tawau. Beliau membuat persediaan lebih awal bagi mengawal kos dan berjaya mendapatkan tiket pada harga lebih berpatutan.

“Kita sangat teruja sebab tidak tahu Aidilfitri bilakan, tertanya hari ini atau esok? Syukur sambut Aidilfitri pada Sabtu jadi kita boleh sambut di kampung halaman, rasa seronokla.

“Kita beli tiket awal sejak tahun lepas tapi kos untuk empat orang RM1,600 sebab kita beli awal. Anak-anak teruja sangat, beberapa bulan sebelum ini mereka sangat excited nak balik kampung halaman.

“Memang seronok sebab nak jumpa keluarga di Tawau, itu tujuan utama kami pulang untuk berkumpul sambut Aidilfitri,” jelas beliau.

Hayati Latapa
Hayati Latapa

Hayati Latapa, 42, yang pulang ke Kota Marudu pula turut mengakui harga tiket tahun ini sedikit meningkat walaupun dibeli tiga bulan lebih awal.

“Kita sudah beli tiket tiga bulan awal, harga berbanding tahun lepas beza jugak dan lebih sedikit tahun ini. Anak-anak memang tidak sabar nak balik kampung halaman kita, mereka tidak kita perbelanjaan kita banyak mana,” katanya.

Danial Abu Zahar
Danial Abu Zahar

Bagi anak jati Sarawak, Danial Abu Zahar, 30, strategi membeli tiket saat akhir dianggap berbaloi apabila harga yang diperoleh tidak jauh berbeza berbanding tahun lalu.

“Perbezaan kos tiket tahun ini dengan tahun lepas tidak beza sangat, boleh diterima lagi. Bagi saya perasaan teruja anak-anak untuk pulang ke kampung itu adalah keutamaan saya sekarang, sebab nak sambut Aidilfitri bersama-sama keluarga sebab sudah lama tidak balik,” katanya yang membawa isteri dan anak lelakinya ke Kuching.

Tasha Nor Azhar
Tasha Nor Azhar

Dalam pada itu, Tasha Nor Azhar, 20, yang pulang ke Pekan Baru, Indonesia memilih untuk membeli tiket di saat akhir kerana tidak pasti tarikh sebenar Aidilfitri.

“Saya pilih saat-saat akhir balik ke kampung sebab tidak tahu Aidilfitri bila, beli tiket last minit. Tiket sekarang lagi mahal berbanding tahun lepas, banyak beza.

“Gembira dan teruja sebab nak jumpa ahli keluarga dan sambut Aidilfitri bersama-sama mereka. Nenek yang sering hubungi bila saya nak pulang, banyak kali juga dia telefon,” katanya.

Syahrul Azim
Syahrul Azim

Syahrul Azim, 27, yang pulang ke Kota Kinabalu, Sabah pula mempunyai pengalaman berbeza apabila tiket yang dibelinya tahun ini lebih murah berbanding tahun lalu.

“Saya pilih balik saat-saat akhir sebab tiket kapal terbang mahal, kalau last minit murah sedikit. Ada beza juga sebab tahun lepas saya beli RM800 tiket pergi balik, tahun ini murah sedikit RM600,” katanya.

Umat Islam di Malaysia akan meraikan Hari Raya Aidilfitri 1447 Hijrah pada Sabtu, 21 Mac 2026.

Pengumuman itu dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad menerusi siaran televisyen, radio dan platform media sosial semalam. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast