Pasukan penyelamat membawa mangsa yang cedera keluar dari kapal.

KOTA TINGGI – Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menyelamatkan lima anak kapal warga Thailand selepas kapal kargo mereka terbakar pada kedudukan 30 batu nautika timur Tanjung Sedili di sini semalam.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, maklumat kecemasan berhubung kejadian tersebut diterima oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru pada pukul 12.20 tengah hari.

“Sejurus menerima laporan, pihaknya segera menggerakkan bot Perkasa 30 ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi menyelamat. Kejadian dilaporkan berlaku pukul 10.20 pagi di bahagian rumah masak.

“Semua lima kru lelaki berusia antara 25 hingga 61 tahun diselamatkan dalam satu operasi pemindahan perubatan (medevac). Mereka mengalami kecederaan melecur, dengan sebahagian daripadanya dikategorikan sebagai serius,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Maritim Malaysia menjalankan penilaian awal di lokasi sebelum melaksanakan operasi medevac bagi membawa kesemua mangsa ke daratan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Dalam pada itu katanya, Maritim Malaysia akan terus komited dalam memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara serta memberi bantuan segera kepada komuniti maritim yang memerlukan.

Operasi berkenaan katanya, tamat sepenuhnya setelah semua mangsa berjaya dipindahkan dan diserahkan kepada pihak perubatan untuk tindakan lanjut.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast