KUALA LUMPUR – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang ahli perniagaan di Amarin Kiara, di sini pada 11 Julai 2022.
Tertuduh, V. V. Vadivelu, 39, didakwa membunuh Goh Chok Chuan, 63, di kawasan parkir berhampiran pondok pengawal sebuah kediaman di Amarin Kiara, Jalan Desa Kiara 1, kira-kira jam 11.40 malam.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret MS Arunjothy.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 8 Jun depan sebagai tarikh sebutan bagi mendapatkan kebenaran memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.
Sebelum ini, tertuduh bersembunyi di sebuah ladang getah di Pahang selepas kejadian sebelum berjaya ditahan pada 18 Mac lalu di hadapan sebuah restoran di Jalan Hang Kasturi oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (D9) Kuala Lumpur.
Semakan mendapati lelaki itu mempunyai 11 rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.
Difahamkan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu bersama tiga individu lain.
Ketiga-tiga mereka bagaimanapun mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan dan telah dijatuhi hukuman.
Media sebelum ini melaporkan mangsa ditembak mati ketika berjalan menuju ke keretanya selepas pulang bermain mahjung di rumah rakannya di lokasi sama.
Seorang saksi turut dilaporkan mendengar tiga das tembakan sebelum mangsa ditemukan terbaring berlumuran darah. – MalaysiaGazette
















