UTeM berjaya mencatat peningkatan memberangsangkan bagi 2 bidang utama dalam QS World University Rankings by Subject 2026 yang diumumkan semalam.

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus melakar kecemerlangan di persada akademik antarabangsa apabila mencatatkan peningkatan signifikan dalam dua bidang utama menerusi QS World University Rankings by Subject 2026 yang diumumkan baru-baru ini.

Pencapaian membanggakan tersebut menyaksikan bidang Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautik dan Pembuatan kini melonjak ke kedudukan 351–400, manakala bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik berjaya berada dalam kelompok 401–450.

Sementara itu, bidang Sains Komputer dan Sistem Maklumat terus mengekalkan momentum prestasinya dengan kekal berada pada kedudukan 651–700, sekali gus membuktikan konsistensi kualiti akademik universiti teknikal ini.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, pencapaian ini dilihat sebagai manifestasi komitmen berterusan UTeM dalam memperkasa kecemerlangan pengajaran, penyelidikan dan inovasi, selari dengan aspirasi untuk menjadi institusi pendidikan teknikal terkemuka di peringkat global.

Jelasnya, kejayaan itu adalah hasil daripada strategi berfokus dalam meningkatkan kualiti penyelidikan, impak penerbitan akademik, serta pengukuhan jaringan kolaborasi strategik bersama rakan industri dan institusi antarabangsa yang semakin meluas.

“Selain itu, dedikasi tenaga akademik yang pakar dalam memastikan kurikulum kekal relevan dan berdaya saing menjadi tunjang utama kepada lonjakan penarafan ini,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau turut menekankan bahawa pencapaian bukan sekadar angka malah ia memberi impak besar dalam memperkukuh reputasi UTeM sebagai institusi pendidikan teknikal (TVET) aras tinggi yang diyakini oleh pihak berkepentingan di peringkat antarabangsa.

“Ini akan membuka lebih banyak ruang kerjasama strategik dan meningkatkan kebolehpasaran graduan kita di mata dunia,” tambah beliau.

Mengulas perancangan lanjut, beliau menyatakan UTeM komited untuk mempergiatkan usaha dalam penyelidikan berimpak tinggi dan memperluas kerjasama antarabangsa. Langkah proaktif akan terus diambil bagi memperkasa bidang keutamaan strategik universiti demi memastikan kecemerlangan ini mampan dan terus meningkat pada masa hadapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast