Larian Citraloka anjuran mahasiswa UPTM

KUALA LUMPUR – Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) melalui mahasiswa Kursus COC4024 Communication Final Project akan menganjurkan program CITRALOKA 2026: “Where Culture Runs & Performs”, sebuah inisiatif yang mengabungkan gaya hidup sihat dengan penghayatan kepelbagaian budaya Malaysia serta pemerkasaan komuniti.

Program ini dijadualkan dirasmikan oleh Prof. Dr. Sharifah Syahirah Sy Shiekh sebagai tanda sokongan terhadap usaha golongan belia dalam memupuk semangat kebersamaan, perpaduan dan penglibatan aktif dalam aktiviti berteraskan komuniti.

Antara tumpuan utama program ini ialah penglibatan anak-anak Orang Kurang Upaya (OKU) melalui kolaborasi bersama Persatuan Pelari Anak Luar Biasa (Little Fighters Runners).

Penyertaan mereka bukan sahaja memberi inspirasi, malah menonjolkan mesej bahawa setiap individu tanpa mengira keupayaan berhak dan mampu menyertai aktiviti sukan serta komuniti.

Usaha ini secara tidak langsung menggalakkan penerimaan, empati dan semangat kebersamaan dalam masyarakat.

Selain itu, CITRALOKA 2026 turut menampilkan persembahan kebudayaan pelbagai kaum yang menjadi antara tarikan utama program. Antara persembahan yang diketengahkan termasuk tarian kathaak, tarian kipas, zapin dan joget, dikir barat serta silat, yang mencerminkan keunikan serta keharmonian budaya masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

Program ini merupakan hasil kolaborasi antara pelajar, CitraLoka dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM). Penganjuran ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan), SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan) serta SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat) melalui penglibatan komuniti, institusi dan rakan strategik dalam pelaksanaan program.

Dari aspek kerjasama strategik, CITRALOKA 2026 turut mendapat sokongan daripada penaja utama iaitu Commerce Dot Com (CDC), Nestlé, Adabi dan B.U.M Entertainment yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran serta kejayaan program ini.

Sokongan ini turut mencerminkan kepercayaan pihak industri terhadap keupayaan mahasiswa dalam menguruskan program berskala besar secara profesional.

CITRALOKA 2026 dijangka menghimpunkan kira-kira 700 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah, mahasiswa institusi pengajian tinggi, golongan belia serta masyarakat umum.

Program ini menawarkan dua kategori larian iaitu lima kilometer dan 10 kilometer, yang bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat tetapi juga menggalakkan penyertaan aktif masyarakat dalam aktiviti berasaskan komuniti.

Secara keseluruhan, penganjuran CITRALOKA 2026 diharap dapat menjadi platform berterusan dalam memperkukuh perpaduan, semangat kesukanan dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya, selaras dengan aspirasi pembentukan masyarakat yang harmoni dan progresif. -MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast