KUALA LUMPUR – Cadangan supaya orang ramai menaiki basikal bagi menangani kesan kenaikan harga petrol dan diesel dianggap tidak realistik selain disifatkan gagal menyelesaikan isu kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan Pas Pusat, Ir. Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, pendekatan sedemikian menunjukkan kegagalan memahami realiti kehidupan rakyat yang terpaksa menempuh perjalanan harian sejauh 20 hingga 30 kilometer dalam keadaan cuaca panas, selain komitmen kerja dan keluarga.
Menurutnya, cadangan oleh Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan itu bukan sahaja tidak praktikal, malah dilihat tidak sensitif terhadap golongan peniaga kecil yang bergantung kepada kenderaan seperti pacuan empat roda untuk mengangkut barangan perniagaan.
“Rakyat tidak perlukan idea sebegini, sebaliknya mahukan dasar yang serius dan berkesan bagi menangani tekanan ekonomi,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Tambahnya, cadangan seperti penggunaan basikal, kenderaan elektrik (EV) atau pengangkutan awam bukanlah perkara baharu, malah boleh difikirkan sendiri oleh rakyat tanpa perlu diutarakan oleh kerajaan.
Sehubungan itu, beliau mengemukakan tiga persoalan utama kepada kerajaan iaitu pelan sebenar menghadapi kenaikan harga minyak global, strategi mengurangkan kebergantungan kepada import tenaga serta langkah konkrit melindungi rakyat daripada peningkatan kos sara hidup.
Pada masa sama, katanya, Perikatan Nasional (PN) mendesak agar sidang Parlimen khas diadakan segera bagi membincangkan kedudukan ekonomi dan kewangan negara secara menyeluruh.
Menurutnya, sidang tersebut penting bagi membolehkan Ahli Parlimen memainkan peranan semak dan imbang terhadap dasar kerajaan, selain mencadangkan penubuhan jawatankuasa bukan partisan untuk mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan negara.
Beliau turut menegaskan agar pihak kerajaan mengelakkan daripada mengemukakan cadangan yang tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya memberi fokus kepada langkah dasar yang lebih berkesan dan berpaksikan realiti kehidupan rakyat. – MalaysiaGazette
















