KUALA LUMPUR – Pas menuntut supaya laporan siasatan jawatankuasa khas yang diketuai Peguam Negara berkaitan isu pemilikan saham Tan Sri Azam Baki mesti didedahkan sepenuhnya kepada rakyat dalam tempoh tujuh hari.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tidak ada sebarang justifikasi untuk menyembunyikan maklumat yang menyentuh kepentingan awam yang sebesar itu dalam siasatan tersebut.
Menurut beliau, sekiranya dapatan siasatan mendapati Azam melanggar peraturan pegangan saham penjawat awam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan mesti digantung tugas serta-merta sementara tindakan disiplin dan undang-undang diambil.
Tegas beliau, badan pencegah rasuah tidak boleh diketuai oleh seseorang yang dirinya sedang disiasat atas dakwaan rasuah.
Selain itu, ujarnya, kerajaan mesti menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan “mafia korporat” yang dikaitkan dengan SPRM.
“Jawatankuasa dalaman yang dilantik oleh eksekutif sendiri tidak mencukupi untuk menangani dakwaan seberat ini.
“Rakyat berhak mendapat siasatan yang benar-benar bebas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Tuan Ibrahim, Pas turut menuntut Parlimen memainkan peranan pengawasan yang sewajarnya bersabit isu tersebut.
Ujarnya, SPRM mesti diletakkan di bawah pemantauan langsung Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, bukan di bawah perlindungan eksekutif yang mempunyai kepentingan politik untuk melindunginya.
“Saya ingin mengingatkan Perdana Menteri bahawa amanah bukan milik beliau. Ia milik rakyat.
“Reformasi yang beliau perjuangkan selama dua dekad bukan sekadar slogan untuk memenangi pilihan raya.
“Ia adalah janji suci kepada jutaan rakyat yang percaya bahawa Malaysia layak mempunyai pemimpin yang telus, akauntabel, dan berani.
“Jika hari ini Perdana Menteri memilih untuk menyembunyikan dapatan siasatan demi melindungi seorang individu, maka beliau bukan lagi pejuang reformasi.
“Beliau adalah sebahagian daripada masalah yang beliau janjikan untuk selesaikan,” katanya.
Terdahulu, beliau turut merujuk laporan portal berita yang memetik sumber mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta jawatankuasa khas menangguhkan pendedahan hasil siasatan berkaitan isu pemilikan saham Azam.
Menurut Tuan Ibrahim, laporan itu sekiranya benar, adalah satu pengkhianatan besar terhadap prinsip ketelusan yang Anwar sendiri janjikan di Parlimen pada 3 Mac lalu.
Pada hari itu, ujarnya, Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa siasatan akan dijalankan secara telus dan mematuhi proses wajar, dengan rakyat menerima jaminan itu dengan baik.
“Tetapi apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya. Laporan siasatan oleh jawatankuasa khas yang diketuai Peguam Negara sudah selesai. Ia sudah dibentangkan di Kabinet. Ia sudah dirujuk kepada Ketua Setiausaha Negara. Namun rakyat masih dalam gelap.
“Persoalannya mudah: Jika dapatan siasatan itu membuktikan Azam Baki tidak bersalah, mengapa perlu disembunyikan?
“Dan jika dapatan itu membuktikan beliau bersalah, mengapa beliau masih berkhidmat sebagai Ketua Pesuruhjaya badan pencegah rasuah negara?” katanya. – MalaysiaGazette
















