Gambar hiasan.

ALOR SETAR – Polis menahan seorang lelaki dipercayai mencederakan seorang individu lain menggunakan sebilah pisau sebelum membakar motosikal mangsa di Jalan Singkir Badong dekat Yan, semalam.

Ketua Polis Daerah Yan Superintenden Mohamad Hamizi Abdullah berkata kejadian berlaku kira-kira 7 malam dan melibatkan seorang lelaki berusia 34 tahun yang sedang menunggang motosikal serta suspek 41 tahun.

“Mangsa diserang suspek sehingga berlaku pergelutan dan mangsa mengalami kecederaan pada pergelangan tangan kanan akibat dilibas pisau.

“Mangsa sempat menyelamatkan diri dan meninggalkan motosikalnya. Suspek telah mencabut paip petrol motosikal itu sebelum membakarnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata polis menahan suspek pada 8 malam hari yang sama dan merampas senjata digunakan.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku kerana suspek tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang membaiki saliran paip air dirosakkan suspek serta perbuatan suspek mengambil air tanpa kebenaran mangsa,” katanya.

Beliau berkata suspek mempunyai dua rekod jenayah kes dadah dan siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 324/435 Kanun Keseksaan. — BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast