Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato' Azmi Kamaruzaman merasmikan Mesyuarat MPSAL Siri 37 Bil 1 Tahun 2026 di Dewan Serbaguna Aras 7, Ibu Pejabat SPRM Putrajaya

KUALA LUMPUR – Usaha berterusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membanteras rasuah terus diperkukuh melalui penyaluran maklumat strategik oleh pegawai yang ditempatkan di Unit Integriti (UI) agensi awam serta Unit Integriti dan Governans (IGU).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, hasil maklumat yang disalurkan telah berjaya merekodkan sebanyak 65 tangkapan serta 379 pertuduhan pada tahun 2025.

“Pencapaian itu mencerminkan keberkesanan kerjasama strategik serta komitmen berterusan SPRM dalam memperkukuh tadbir urus dan integriti perkhidmatan awam serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

“Sebanyak 104 maklumat telah disalurkan melalui Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA) SPRM sepanjang tahun lalu untuk tindakan lanjut, sekali gus mencatatkan peningkatan 0.9 peratus berbanding 96 maklumat pada 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Azmi Kamaruzaman merasmikan Mesyuarat MPSAL Siri 37 Bil 1 Tahun 2026 di Dewan Serbaguna Aras 7, Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Tambah beliau, SPRM akan terus memperkukuh peranannya dalam penguatkuasaan membanteras rasuah melalui penyaluran maklumat strategik oleh pegawai yang ditempatkan di UI agensi awam serta IGU.

Jelasnya, seiring dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menekankan keperluan memperkasakan peranan UI di semua agensi kerajaan sebagai benteng utama dalam membanteras rasuah.

“Berdasarkan rekod hingga 31 Mac 2026, sebanyak 100 pegawai SPRM telah ditempatkan di UI dan IGU, melibatkan 92 pegawai di UI agensi awam serta lapan pegawai di IGU GLC.

“Hal ini sekali gus memperluas peranan pengawasan dan pencegahan di pelbagai sektor strategik negara,” jelasnya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Azmi Kamaruzaman merasmikan Mesyuarat MPSAL Siri 37 Bil 1 Tahun 2026 di Dewan Serbaguna Aras 7, Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pegawai yang ditempatkan di agensi luar agar sentiasa memelihara tatakelakuan dan disiplin, selaras dengan amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Selain itu, pegawai UI atau IGU juga diseru untuk memainkan peranan proaktif dalam melaksanakan pemantauan secara berterusan termasuk Laporan SPRM (LSPRM) .

“Ia termasuk syor khidmat nasihat agensi di bawah seliaan yang dijadikan agenda tetap dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola (JTK) sebagai langkah pengukuhan tadbir urus,” ujarnya.

Terdahulu, Azmi mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi SPRM bersama pegawai SPRM yang ditempatkan di agensi luar.

Dalam mesyuarat itu, turut diadakan Sesi Libat Urus pegawai SPRM di agensi luar bersama Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA) SPRM Lim Bee Kean dan Cawangan Siasatan Integriti Badan Awam (CBA), Bahagian Siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast