Gambar hiasan.

BATU PAHAT – Seorang pekerja kedai serbaneka mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan pecah amanah lebih RM32,000 yang dilakukan untuk membayar hutang along.

Nurfatin Najwa Ahmad Bzli, 23, membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.

Berdasarkan semua pertuduhan, dia yang belum berkahwin didakwa melakukan pecah amanah berupa wang tunai hasil jualan perniagaan harian berjumlah RM32,101.70 milik kedai serbaneka.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah kedai serbaneka Taman Soga di sini antara 21 hingga 27 Mac lalu.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, Seksyen 289 Kanun Prosedur Jenayah memberikan pengecualian hukuman sebatan terhadap pesalah wanita.

Berdasarkan fakta kes, pihak pengurusan kedai serbaneka terbabit mendapati wujud aliran tunai mencurigakan sebelum menjalankan audit.

Pada 19 Mac lalu, tertuduh ditugaskan mengira stok serta menjaga kaunter pembayaran kerana menggantikan seorang pekerja kedai serbaneka terbabit yang cuti bersalin.

Kejadian terbongkar apabila pengurusan mendapati jumlah stok dengan pendapatan harian tidak selari sebelum menjalankan pemeriksaan.

Hasil siasatan mendapati, tertuduh mengaku melakukan pecah amanah kerana mahu membayar hutang along.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah memutuskan tiada jaminan ditawarkan dan kes disebut semula Jumaat ini untuk fakta dan hukuman.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast