Tiga maut manakala dua lagi parah selepas van dinaiki kemalangan dengan dua kenderaan berat di Jalan Johor Bahru-Seremban, Segamat hari ini.

SEGAMAT – Tiga maut manakala dua lagi parah selepas van dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan dua kenderaan berat di Kilometer 212 Jalan Johor Bahru-Seremban di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superitendan Mohd Jumanzanzahir Chek Ismail berkata, kejadian itu berlaku pukul 3.45 petang berhampiran persimpangan Taman Golden Hill, Gemas Baharu melibatkan sebuah van, treler dan lori kargo.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila van dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an bersama-sama empat penumpang berumur antara 20 hingga 60 tahun dari arah Segamat menghala masuk simpang ke arah Taman Golden Hill.

“Van tersebut kemudian dilanggar di bahagian belakang kiri oleh sebuah treler yang dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an yang bergerak di belakangnya,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, akibat pelanggaran pertama, van tersebut termasuk ke laluan bertentangan sebelum dilanggar di bahagian hadapan oleh sebuah lori kargo dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an.

Katanya, pemandu dan dua penumpang van berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Menurutnya, dua lagi penumpang mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di hospital, manakala pemandu kedua-dua lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mohd Jumanzanzahir berkata, siasatan awal mendapati mangsa kemalangan merupakan ahli keluarga kepada pemandu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” ujarnya.

Pihaknya memohon saksi awam yang melihat kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mega Rajiman menerusi talian 07-9325811.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat, Pegawai Bomba Kanan II Zainal Abidin Che Deraman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 4.24 petang.

Susulan itu katanya, seramai lapan anggota dibantu BBP Gemas serta dua jentera Fire Rescue tender (FRT) dan dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.

“Tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala mangsa yang parah dibawa ambulans ke hospital.

“Operasi menyelamat dan pembersihan kawasan selesai sepenuhnya pada 5.35 petang,” katanya dalam satu kenyataan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast