SEGAMAT – Pemandu treler yang menjadi punca kemalangan ngeri meragut nyawa tiga beranak di Segamat semalam direman selama empat hari.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superitendan Mohd Jumanzanzahir Chek Ismail berkata, perintah tahanan reman yang bermula hari ini sehingga 6 April itu dikeluarkan di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi.
“Majistret Amalin Johar membenarkan tempoh reman tersebut bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kes disiasat bawah Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Dalam kejadian pada pukul 3.45 petang semalam, treler dipandu suspek yang berusia 28 itu melanggar belakang sebuah van dinaiki satu keluarga di Kilometer 212, Jalan Johor Bahru-Seremban.
Akibat pelanggaran tersebut van berkenaan hilang kawalan sebelum masuk laluan bertentangan dan melanggar bahagian hadapan sebuah lori.
Dalam kejadian tersebut, tiga mangsa yang berada dalam van tersebut cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi yang cedera dibawa ke Hospital Segamat.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, ujian saringan terhadap suspek mendapatinya positif dadah jenis methamphetamine. – MalaysiaGazette
















