SHAH ALAM – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sedang melihat keperluan pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam kalangan para pegawai dan anggotanya bagi mengelakkan operasi agensi pengurusan bencana itu tidak terjejas.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata, meskipun APM merupakan pasukan barisan hadapan, pihaknya akan melakukan kaedah suai dan padan sebelum arahan kerajaan itu dapat dilaksanakan.
“APM ini sedang melihat keperluan untuk kita di samping mematuhi arahan kerajaan kita juga memastikan bahawa operasi kita tidak tergendala.
“Kita cuba laksanakan kaedah mix and match, jadi akan ada orang yang kita benarkan BDR, pada masa sama akan ada orang yang tidak dibenarkan BDR.
“Saya rasa perkara ini Ketua Pesuruhjaya (APM) boleh tentukan sebab APM ini adalah perkhidmatan penting dan mendesak, tidak sesuai untuk melaksanakan BDR,” katanya berucap pada Program Santuni Media Madani APM 2026 di sini hari ini.
Pada Rabu lalu, Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan dasar BDR mulai 15 April ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan dasar BDR itu membabitkan kementerian, agensi serta badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan.
Dalam perkembangan sama, Mohd Zawawi mengakui APM pernah satu ketika terpaksa menolak kes kecemasan dan mengalihkannya kepada agensi lain kerana kekangan aset di sesuatu daerah.
“APM berdepan dengan ketidakcukupan aset air dan aset darat, kami ada 156 daerah, ada 200 lebih pejabat, sebuah daerah biasanya hanya ada sebuah kenderaan pacuan empat roda (4×4), sebuah ambulans, sebuah lori tiga tan, lima tan atau 10 tan.
“Bayangkan daerah itu besar seperti di Sarawak, bila kita dapat panggilan (kecemasan), kita keluar kadang-kala jaraknya perjalanan sehala sahaja sudah cecah hingga 50 kilometer (km).
“Pergi balik sudah 100km dan dalam perjalanan tiba-tiba ada ular tempat lain pula sebab di Malaysia ini kes paling banyak adalah kes ular, lagi-lagi musim panas sekarang ini ular akan keluar.
“Jadi anggota kita ini tak sampai lagi ke tempat tujuan tapi sudah ada panggilan masuk dan menyebabkan kita terpaksa tolak kes, kita bukan nak tolak kes cuma alhamdulillah kita dapat bantuan daripada sahabat agensi, kita serah kepada bomba,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















