Bangunan Wisma Putra Kementerian Luar Negeri di Putrajaya

PUTRAJAYA – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya undang-undang baharu yang diluluskan oleh rejim Zionis Israel yang mengenakan hukuman mati secara mandatori terhadap rakyat Palestin di Wilayah Palestin yang Diduduki.

Kementerian Luar dalam kenyataan pada Jumaat menegaskan bahawa undang-undang itu jelas bersifat diskiriminasi terhadap warga Palestin dan menghapuskan sepenuhnya budi bicara melalui proses kehakiman.

“Perundangan yang menyasarkan individu berdasarkan etnik dan identiti nasional ini merupakan suatu pelanggaran nyata terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia, termasuk Konvensyen Geneva Keempat serta instrumen antarabangsa hak asasi manusia yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu menegaskan bahawa undang-undang baharu itu juga merupakan satu lagi langkah diskriminasi oleh rejim Zionis Israel untuk memperkukuh sistem aparteid dalam pendudukan haramnya di Wilayah Palestin.

Malaysia juga berdiri teguh bersama masyarakat antarabangsa dalam menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan tahanan Palestin di pusat tahanan Israel, terutama mengambil kira laporan sahih mengenai penderaan berterusan, penyeksaan, layanan tidak berperikemanusiaan dan menghina, kebuluran, serta penafian hak-hak asas mereka.

Malaysia turut mendesak masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan tegas, berprinsip dan kolektif bagi memastikan akauntabiliti ditegakkan, undang-undang antarabangsa dihormati, serta semua bentuk diskriminasi dan penindasan terhadap rakyat Palestin dihentikan segera.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast