Ng Lum Yong
Ng Lum Yong

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli didakwa berada dalam keadaan tertekan selepas pelbagai pihak melabelkan beliau sebagai menteri paling gagal dalam pentadbiran Kerajaan Madani.

Dakwaan itu disuarakan pengasas parti berkenaan, Ng Lum Yong yang berkata, situasi tersebut semakin ketara selepas Rafizi tidak lagi berpihak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerap mengkritik Presiden PKR itu secara terbuka.

Menurutnya, pelbagai cerita tidak baik mengenai Anwar mula diperkatakan Rafizi selepas beliau tidak lagi menyokong kepimpinan Perdana Menteri tersebut.

“Tindakan ini tidak betul. Sebagai seorang ahli politik, Rafizi mesti ‘gentleman’.

“Rafizi tidak wajar mengkritik semuanya selepas tidak lagi menyokong Anwar,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Rafizi yang menyatakan beliau akan menjadi “lebih berbahaya” jika keluar parti, yang disifatkan sebagai sombong serta berbentuk ugutan politik terhadap parti sendiri.

Dalam pada itu, Lum Yong menjangkakan Rafizi akan cuba mencipta naratif politik baharu susulan kegagalannya dalam PKR untuk menunaikan janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Menurutnya, beberapa inisiatif besar yang diperkenalkan sebelum ini didakwa gagal menunjukkan impak positif secara konsisten.

“Beberapa inisiatif besar yang diperkenalkan termasuk Pangkalan Data Utama (PADU) serta projek mesin layan diri bernilai ratusan juta ringgit turut gagal menunjukkan impak yang positif dan konsisten.

“Rafizi akan tinggalkan PKR,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Rafizi mendakwa naratif yang melabelkan dirinya sebagai ‘menteri paling gagal’ merupakan satu gerakan terancang yang disusun kumpulan berpengaruh bagi mengalihkan perhatian orang ramai.

Beliau turut menamakan beberapa individu yang menurutnya digunakan untuk mengulangi serangan tersebut termasuk Lum Yong; aktivis politik, Faizan Mohd Noor serta bekas calon pilihan raya negeri Sarawak, Mahmud Epah.

Sebelum ini, Faizan turut mengkritik Rafizi dengan mendakwa beliau bersikap tidak konsisten apabila hanya lantang bersuara terhadap isu melibatkan syarikat tertentu selepas tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan.

Faizan mendakwa, sepanjang tempoh hampir tiga tahun sebagai Menteri Ekonomi, Rafizi tidak pernah menyuarakan bantahan terhadap syarikat yang kini didakwanya bermasalah walaupun kontrak perniagaan terus diberikan atau dilanjutkan ketika beliau berada dalam pentadbiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast