PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan kerajaan pusat untuk menangguhkan semakan berhubung pengiraan dan pembayaran hasil Persekutuan yang layak diberikan kepada Kerajaan Negeri Sabah untuk tempoh 47 tahun.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian selepas berpuas hati wujud keadaan istimewa yang mewajarkan permohonan penangguhan dibenarkan sementara rayuan penuh dilupuskan.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Ismail Brahim dan K. Muniandy sebulat suara berpendapat, selain bertujuan memelihara integriti merit rayuan, kerajaan pusat akan berada dalam keadaan yang prejudis jika permohonan tersebut ditolak.
Mahkamah berpuas hati, semakan itu melibatkan sejumlah dokumen yang banyak yang menyentuh hasil kewangan Kerajaan Persekutuan dalam tempoh 47 tahun bermula 1974 hingga 2021.
Hakim Mohamed Zaini ketika membacakan keputusan itu berkata, Kerajaan Persekutuan berada dalam kekangan masa kerana semakan tersebut melibatkan penilaian komprehensif terhadap kedudukan akhir mereka berkaitan hasil bersih Sabah untuk tempoh tersebut.
Menurut beliau, panel itu mengambil maklum bahawa Kerajaan Persekutuan telah memulakan rundingan dengan kerajaan negeri dan mengadakan empat mesyuarat manakala tempoh 180 hari untuk kedua-duanya mencapai persetujuan (dalam rundingan) itu akan tamat pada 15 April ini.
“Ini memerlukan pengenalpastian, pengesahan dan penyelarasan data kewangan, sejumlah dokumen yang banyak dan rekod sejarah untuk tempoh 47 tahun,” ujar beliau.
Hakim Mohamed Zaini selanjutnya menyatakan, panel itu mengambil perhatian bahawa perintah Mahkamah Tinggi bukan sahaja mengarahkan rundingan tetapi juga menghendaki pemohon membuat pembayaran daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan dalam tempoh 180 hari dari perintah tersebut.
“Ini boleh membawa kesan kewangan yang serius, terutamanya dengan mengambil kira iklim ekonomi global yang mencabar.
“Di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, sebarang semakan mesti mempertimbangkan kedudukan kewangan pemohon berhubung keperluan responden kedua.
“Tempoh masa yang dikenakan mungkin tidak memberi peluang yang mencukupi kepada pihak-pihak yang terlibat untuk menentukan pembayaran kuantum yang betul,” ujarnya.
Menurut beliau, mahkamah mendengar hujahan pemohon yang menyatakan Mahkamah Tinggi terkhilaf kerana mengarahkan semakan semula dengan cara yang tidak konsisten khususnya dengan mengenakan garis masa.
Menurut beliau, panel itu berpuas hati, pemohon akan terjejas jika penangguhan tidak diberikan kerana terdapat risiko sebenar ketidakpatuhan terhadap garis masa yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi.
“Pemohon telah mengesahkan bahawa mereka tidak berhasrat untuk menangguhkan prosiding dan telah mengambil langkah untuk mempercepatkan pendengaran rayuannya. Oleh itu, kami berpuas hati bahawa keadaan istimewa berjaya dibuktikan,” ujar beliau.
Sementara itu, Hakim Muniandy turut menyatakan, responden tidak mengalami ketidakadilan jika penangguhan dibenarkan manakala panel itu mempunyai kuasa berbuat demikian di bawah Seksyen 44 Akta Mahkamah Kehakiman (CoJA) 1964.
Pada prosiding terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly berhujah bagi pihak Kerajaan Persekutuan manakala peguam Dr. David Fung mewakili Sabah Law Society (SLS) selaku responden pertama dan Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh bagi kerajaan negeri.
Kerajaan Persekutuan memohon menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang memutuskan Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula Hak Tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah.
Pada 17 Oktober tahun lalu, Hakim Datuk Celestina Stuel Galid, mengarahkan Kerajaan Persekutuan membuat semakan kadar pemberian khas tersebut dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan pembayaran dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.
Penghakiman berkenaan dibuat ketika mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan SLS.
Hakim berkenaan berpuas hati, Kerajaan Persekutuan telah bertindak secara menyalahi undang-undang dan melampaui kuasa perlembagaannya kerana gagal menunaikan hak Sabah untuk menerima 40 peratus hasil Persekutuan dari tahun 1974 hingga 2021. – MalaysiaGazette
















